Sunday, June 26, 2011

Konvoi Perahu Merdeka himpun semangat nelayan

Perjalanan lima kilometer dari Kampung Mengkabong ke Gayang turut bawa sangkar kuning lima merpati simbolik Hari Kebangsaan ke-50

TUARAN: Daerah ini mencatat sejarah tersendiri apabila mengadakan Konvoi Perahu Merdeka terbesar sempena Bulan Kemerdekaan 2007 membabitkan 65 perahu dari Kampung Mengkabong menuju Kampung Gayang, Tuaran, 1 September lalu.

Menariknya, acara julung kali itu berjaya menghimpunkan kira-kira 400 nelayan sepenuh masa dari Kampung Tembilok, Buansa, Suang Kerumahan, Mempelam, Pensurun, Separuk, Lentuong dan Gayang.

Bertolak seawal jam 9 pagi dari jeti Kampung Tembilok, konvoi perahu yang diilhamkan beberapa pemimpin di daerah ini itu tenang menyusuri Teluk Mengkabong menuju jeti Kampung Gayang.

Perjalanan sejauh lima kilometer dan mengambil masa kira-kira 40 minit, diketuai Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, membawa sangkar kuning berisi lima burung merpati sebagai tanda simbolik Hari Kebangsaan ke-50.

Sepanjang perjalanan, Jalur Gemilang dan bendera Sabah berkibar megah di atas 65 perahu nelayan terbabit, diiringi alunan irama muzik tradisional masyarakat Sama yang dikenali sebagai Betitik.

Sejurus tiba di jeti Kampung Gayang, konvoi disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd Noor, yang menerima sangkar kuning berisi merpati dari Tangau dan melepaskan burung terbabit sebagai tanda kebebasan.

Acara yang menarik perhatian ribuan penduduk Tuaran itu diisytiharkan Hajiji sebagai acara tahunan baru dinamakan `Pesta Biduk Sama' tahun depan.

"Inilah erti kemerdekaan. Justeru, kita harus bersyukur dengan nikmat ini dan buah fikiran mengendalikan konvoi perahu merdeka terbesar ini adalah bukti kita benar-benar merayakan Hari Kemerdekaan," katanya selepas menghadiri konvoi itu.

Beliau berharap langkah menjadikan acara itu kegiatan tahunan dapat membantu memajukan industri pembuatan perahu di Tuaran.

"Dengan hampir 70 perahu nelayan menyertai konvoi, saya harap jumlah itu bertambah lebih 100 tahun depan. Jika usaha itu berjaya, Tuaran akan mempunyai acara sendiri sebagai pengenalan seperti Pesta Lepa-Lepa di Semporna," katanya.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman mahu perahu digunakan dalam pesta itu kelak dihias indah mengikut tradisi Sama supaya mampu menggamit perhatian pelancong melawat Tuaran.

"Pesta Biduk Sama itu mensasarkan 20,000 pengunjung termasuk pelancong asing datang ke Tuaran bermula tahun depan," katanya.

Pengerusi penganjur konvoi, Abdul Kassim Razali, berkata walaupun acara itu dirancang beberapa hari sebelum kemuncak Hari Kebangsaan, ia berjaya menghimpunkan nelayan pada jumlah besar untuk mengambil bahagian.

"Pembabitan nelayan dalam konvoi ini cukup bermakna memandangkan golongan itu banyak menyumbang kepada sektor kemajuan makanan laut. Acara itu sekali gus menjadi kegiatan pengisian Hari Kebangsaan ke-50 kepada penduduk Tuaran," katanya.

Beliau gembira usaha dilakukan bersama beberapa pemimpin di Tuaran seperti Tangau dan Hajiji membuahkan kejayaan besar.

Ketua Kampung Suang Kerumahan, Jalim Daraman, berkata acara itu wajar diteruskan sebagai kaedah baru menarik perhatian pelancong luar datang ke Tuaran pada masa depan.

"Ilham mengendalikan konvoi perahu itu adalah langkah bijak kerajaan dalam mempromosikan daerah ini destinasi pelancongan terkemuka di Sabah," katanya.
Nelayan dari Kampung Mengkabong, Yusup Jahip, 40, bangga terpilih sebagai peserta konvoi itu sehingga sanggup bercuti daripada turun laut, semata-mata menghias perahu selama seminggu untuk acara itu.

"Selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah, perahu saya turut membawa peralatan muzik kulintangan, memainkan irama tradisional betitik sepanjang perjalanan itu," katanya.

Sehubungan itu, peserta berharap acara itu, tidak berakhir di situ, sebaliknya akan menjadi kenyataan untuk diadakan sebagai kegiatan tahunan.

Sumber: http://www.malaysiamerdeka.gov.my/v2/en/activities-a-programmes/in-the-news/2007/340-konvoi-perahu-merdeka-himpun-semangat-nelayan

No comments:

Post a Comment