Saturday, September 29, 2012

Keberkesanan Penggunaan Kaedah Main Peranan Dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Dalam Kalangan Murid Tahun 6 Di SK. Bolong, Tuaran

-->

BAB                                PERKARA                                     MUKA SURAT
BAB 1                        PENGENALAN                                                      
                            1.1     Pendahuluan                                     4
                            1.2     Latar Belakang Kajian                         5 - 6
                            1.3     Pernyataan Masalah                            6 - 7
                            1.4     Persoalan Kajian                                7            
                            1.5     Tujuan Kajian                                    7
                            1.6     Objektif Kajian                                   8
                            1.7     Hipotesis Kajian                                  8
                            1.8     Definisi Operasional                            9-10
                            1.9     Signifikan Kajian                                 10     
                           1.10    Limitasi Kajian                                    11
                            1.11    Rumusan                                          11

BAB 2             SOROTAN KAJIAN
                            2.1     Pengenalan                                        12
                            2.2     Konsep Pembelajaran Main Peranan      12
                            2.3     Teori                                                 13 - 14
                            2.4     Model                                                15-17
                            2.5     Kajian Lepas
                                      2.5.1   Kajian Dalam Negara                18-19
                                      2.5.2   Kajian Luar Negara                   19
                            2.6     Kerangka Konseptual                            20
                            2.7     Penutup                                              20
BAB 3                        METODOLOGI KAJIAN
                                   3.1     Pengenalan                                  21
                            3.2     Pendekatan Kajian                               21 - 22
                            3.3     Populasi dan Sampel Kajian                  22-23
                            3.4     Instrumen Kajian                                          23
                                      3.4.1   Set Borang I Soal Selidik Peribadi        24-25
                                               Responden
                                      3.4.2   Set Borang II Soal Selidik Responden   25-26
                                      3.4.3   Set Ujian Pra                                     26
                                      3.4.4   Set Ujian Pos                                    26-27
                            3.5     Prosedur Kajian                                           28
                            3.6     Prosedur Penganalisisan Data                        28
                            3.7     Penutup                                                     28                                                        
                            BIBLIOGRAFI                                                    29-30
                                        
                                              


Bab 1 : Pengenalan
1.1  Pendahuluan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mempunyai matlamat memperkembangkan fungsi murid secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian mereka dengan berkesan dan penuh tanggungjawab. Untuk mencapai matlamat ini, di antara lain, guru perlu mempunyai kemahiran memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid-murid yang pelbagai kebolehan dan minat.
Kepentingan melahirkan individu yang cemerlang jasmani, rohani dan intelek adalah matlamat utama Falsafah Pendidikan Negara dan ia seharusnya menjadi misi utama setiap entiti yang terlibat dalam pendidikan. Oleh yang demikian, segala perancangan pendidikan semestinya perlu bertunjangkan kepada misi yang penting ini. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang benar-benar berkesan perlu diberi perhatian untuk dilaksanakan kerana kaedah yang berkesan akan mempu membantu pelajar, guru, sekolah dan seterusnya kementerian untuk mencapai matlamat yang telah pun digariskan suatu masa dahulu.
Arus pembangunan globalisasi menuntut sistem pendidikan agar lebih dinamik dan sentiasa peka pada keperluan murid. Proses globalisasi telah menjadikan dunia kita semakin kecil dan mencabar. Sekiranya kita tidak melipatgandakan usaha dan mempertingkatkan daya saing, sudah pasti kita akan jauh ketinggalan di belakang. Maka pemantapan harus dibuat dalam sistem pendidikan sehingga ke akar umbi iaitu diperingkat proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam kelas agar sistem pendidikan yang dinamik yang mampu melahirkan individu yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat diwujudkan.
1.2      Latar Belakang Kajian
Walau sebaik mana pun seseorang pelajar dapat mendengar dan memahami sesuatu bahasa baru, namun ia belum menentukan pelajar tersebut boleh bertutur dalam bahasa baru tersebut. Fakta menyatakan bahasa seseorang pendengar boleh membezakan bunyi tidak selalunya diikuti dengan pertuturan yang lancar.
Pengkaji juga mendapati seseorang yang bukan penutur asal bahasa inggeris akan memerlukan masa yang lama untuk belajar bahasa inggeris ini. McDonough dan Show (1993)  dalam kajian mereka mendapati seseorang penutur yang bukan asal enggan menggunakan strategi bahasa mereka apabila bertutur bahasa asing. Tambahan pula, sesetengah pelajar mungkin mampu bertutur bahasa inggeris dengan sempurna sekiranya diberi stimulus di dalam kelas , tetapi dalam konteks kehidupan yang sebenar, mereka tidak dapat berhadapan dengan situasi sebenar di mana mereka perlu bertutur dalam bahasa inggeris. Masalah ini bertambah parah apabila kaedah mengajar yang digunakan dalam bahasa inggeris juga tdak tepat kerana guru lebih mendedahkan pelajar kepada ‘listening’ dan ‘speaking’ pula kurang diberi penekanan. Kesannya, pelajar kurang beri perhatian pada kemampuan bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Curran (1972), dalam kajiannya mendapati sesetengah pelajar yang mempelajari bahasa asing selalunya takut dan bimbang seterusnya menyukarkan pembelajaran bahasa asing tersebut. Hal ini menunjukkan adalah perlu untuk mengambil kira faktor-faktor psikologi sebelum memulakan kelas ‘speaking’. Ia menjadi tanggungjawab guru untuk mencipta fasilitatif, kelas yang selesa untuk pembelajaran Bahasa Inggeris. Ramai pengkaji yang percaya bahawa aktiviti main peranan (Role Play) mampu memperbaiki kebolehan pelajar berkomunikasi dalam bahasa inggeris. Stern (1980) menyatakan bahawa kaedah main peranan adalah kaedah yang penting dalam pengajaran bahasa asing. Maka kajian ini bertujuan untuk memperkenalkan kaedah baru dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris seterusnya menjelaskan keberkesanan kaedah ini dalam proses P&P.

1.3      Pernyataan Masalah
Berdasarkan pengalaman pengkaji, ramai pelajar dalam kelas pada masa kini teragak-agak untuk bertutur dalam bahasa inggeris walaupun mereka sebenarnya cekap dalam bahasa itu.
Apabila pelajar-pelajar diarah untuk bertutur dalam bahasa inggeris, mereka kurang yakin untuk bercakap kerana beberapa masalah. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, punca utama kepada masalh ini adalah persekitaran yang tidak menggalakkan di luar kelas untuk mereka bertutur dalam bahasa inggeris. Pengkaji juga mendapati bahawa penekanan yang diberi kepada kaedah mendengar dalam bahasa inggeris juga sebelum ini juga menyumbang kepada ketidakyakinan pelajar untuk bercakap dalam bahasa inggeris. Selain itu juga, pengkaji mendapati bahawa guru tidak menyediakan aktiviti yang tertumpu pada oral turut menyumbang pada masalah ini.seterusnya, pengkaji juga mendapati bahawa pengajaran ‘speaking’ di dalam kelas juga kurang menarik.
McDonough and Show (1993) dalam kajian mereka mendapati dalam banyak konteks, kemampuan seseorang bertutur seringkali dinilai sebagai ‘face value’. Dalam perkataan lain, seseorang itu itu lebih dinilai kebolehannya dalam kemahiran bertutur daripada kemahiran-kemahiran lain seperti mendengar dan menulis. Tambahan pula, strategi pengajaran pada masa kini seharusnya menumpukan perhatian pada pembentukan aktiviti pembelajaran yang fokus pada aktiviti yang melibatkan pelajar saling berbincang dan berkongsi tentang situasi kehidupan sebenar. Namun, kelas ‘speaking’ dalam Bahasa Inggeris tidak menekankan aktiviti seperti ini. Maka, kaedah main peranan mampu meletakkan pelajar dalam satu persekitaran yang akan menggalakkan mereka untuk mengenepikan rasa malu, membina keyakinan diri mereka, dan menjadikan pelajar-pelajar saling berbincang dan berkongsi pelbagai perkara dalam konteks kehidupan sebenar.

1.4 Persoalan Kajian.
Persoalan dalam kajian ini adalah seperti berikut;
1.    Adakah penggunaan kaedah Main Peranan berbanding kaedah tradisional berkesan dalam meningkatkan minat dan pemikiran kritis pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris?
2.    Apakah perbezaan kesan kumpulan dengan kaedah Main Peranan dan kesan kumpulan dengan kaedah tradisional dalam pembelajaran Bahasa Inggeris?
3.    Apakah gaya pembelajaran yang digunakan pelajar sebelum dan selepas pelaksanaan kajian?
1.5 Tujuan kajian
Tujuan utama kajian ini adalah untuk melihat kesan kaedah pengajaran secara main Peranan dan pengajaran dengan menggunakan kaedah tradisional terhadap murid-murid tahun empat dalam meningkatkan pencapaian dan minat mereka dalam proses P&P. Kesan kedua-dua kaedah pengajaran ke atas minat dan pencapaian murid dalam proses P&P diuji.




1.6 Objektif kajian
Objektif khusus kajian ini adalah untuk ;
1.    Mengenal pasti keberkesanan penggunaan kaedah main peranan berbanding kaedah tradisional terhadap minat dan pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
2.    Menentukan perbezaan kesan kumpulan dengan kaedah pembelajaran kaedah Main Peranan dan kaedah tradisional  dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan murid tahun enam.
3.    Mengenal pasti gaya pembelajaran yang digunakan oleh murid sebelum dan selepas pelaksanaan.
1.7  Hipotesis Kajian
Sebanyak 2 hipotesis telah dikemukakan berdasarkan tujuan pengkaji menjalankan kajian ini. Hipotesis null yang dikaji adalah seperti berikut;
    I.        Hipotesis 1 (HO1)
Tidak terdapat perbezaan antara minat pelajar yang menggunakan kaedah Main Pernan dalam pembelajaran mereka berbanding minat murid yang menggunakan kaedah tradisional dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
    II.        Hipotesis 2 (HO2)
Tidak terdapat perbezaan antara pencapaian murid yang menggunakan kaedah Main Peranan dalam pembelajaran mereka berbanding pencapaian murid yang menggunakan kaedah tradisional dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

1.8 Definisi Operasional
   1.8.1  Keberkesanan
Keberkesanan merujuk kepada perihal berkesan atau berkesannya sesuatu tindakan atau perbuatan (Kamus Dewan, 2005 : 772). Keberkesanan dalam konteks kajian ini  merujuk kepada kejayaan penggunaan kaedah Main Peranan dalam meningkatkan pencapaian serta minat murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
   1.8.2  Kaedah Pembelajaran Main Peranan.
Kaedah Main Peranan atau ‘Role Play’ adalah satu bentuk pendekatan pendidikan, lazimnya dirujuk sebagai konteks yang sama dengan permainan dan simulasi. Menurut Marlyna Maros (2007), kaedah main peranan lebih mirip kepada data interaksi semulajadi kerana adanya perbualan atau sekurang-kurangnya ujaran lisan daripada subjek. Terdapat sekurang-kurangnya empat cara pengumpulan data dalam kaedah ini iaitu (a) lakonan semula, (b) temu ramah lakonan , (c) lakonan benar, dan (d) olahan skrip bertulis. Menggunakan kaedah Role Play dalam latihan melibatkan 5 langkah iaitu (1) memilih isu; (2) menghidupkan dan memilih karakter; (3) membina forum; (4) membuat keputusan – atau tidak; dan (5) menyimpulkan latihan.
   1.8.3           Minat
Menurut Kamus Dewan (2002), minat merujuk kepada keinginan (kesukaan, kecenderungan) kepada sesuatu. Minat adalah kata sifat yang menjelaskan kecenderungan seseorang menyatakan keinginan hatinya kepada sesuatu perkara melalui perubahan emosi dalamannnya setelai merasai melalui pancaindera (melihat, rasa, bau). Apabila ada minat terhadap sesuatu seseorang itu akan cuba memilikinya.
   1.8.4          Pencapaian
Pencapaian bermaksud keputusan ujian mata pelajaran Bahasa Inggeris yang diperolehi oleh pelajar setelah selesai menjalani ujian yang dikendalikan oleh pengkaji. Pengkaji menggunakan topik merangkumi sukatan pelajaran Bahasa Inggeris Tahun Enam.
   1.8.5           Murid
Murid ialah orang yang belajar seperti murid sekolah rendah, sekolah menengah dan sebagainya (orang yang menyelidik ilmu) (Kamus Dewan: 2002). Murid dalam konteks kajian ini merujuk kepada murid tahun enam dalam mata pelajaran bahasa inggeris yang mnuntut di SK. Bolong Tuaran.
1.9  Signifikan Kajian
Kajian ini penting kepada para guru Bahasa Inggeris sebagai asas kepada pemilihan aktiviti P&P yang berkesan dalam bilik darjah. Selain itu, kajian ini juga penting kepada kementerian pelajaran sebagai penentu dasar pendidikan dan juga kepada para penyelidik di luar sana. Dapatan kajian ini juga penting dalam meningkatkan mutu dan keberkesanan sistem pendidikan agar mampu melahirkan individu-individu yang mempunyai kemahiran secara holistik. Kajian ini juga dapat membantu murid dalam mengenal pasti corak pembelajaran sebenar yang mampu meningkatkan minat dan prestasi serta kemampuan  mereka bertutur dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.



1.10  Limitasi Kajian
Kajian ini hanya melibatkan murid-murid tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Bolong, Tuaran sahaja dan laporan kajian hanya sahih dalam konteks sekolah ini sahaja. Selain itu, kajian ini juga hanya tertumpu pada kaedah Main Peranan dalam proses P&P. Kajian ini juga hanya melihat kesan kaedah Main Peranan dari sudut minat dan pencapaian murid dari aspek kebolehan bertutur Bahasa Inggeris dalam proses P&P.
1.11   Rumusan
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan kaedah Main Peranan terhadap minat dan pencapaian pelajar dalam komunikasi bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Semoga dengan pembaharuan dan pengubahsuaian yang sesuai, diharapkan kaedah ini akan dapat meringankan tekanan kepada guru dan hasilnya kelak dapat melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang bahasa dan komunikasi.








Bab 2 : Sorotan Kajian
2.1      Pengenalan
Bab ini akan membincangkan teori, konsep serta kajian-kajian yang berkaitan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran main Peranan. Tinjauan kajian tertumpu kepada aspek yang menjadi fokus kepada pengkaji, iaitu aspek pembelajaran Main Peranan dan kesannya terhadap minat dan pencapaian murid bagi matapelajaran Bahasa Inggeris.
2.2  Konsep pembelajaran Main Peranan
Kaedah Main Peranan adalah satu metode yang berasal dari sosio drama yang boleh digunakan juga untuk membantu pelajar memahami aspek yang lebih halus tentang sastera, kajian sosial, dan juga beberapa aspek dalam sains dan matematik. Kaedah ini juga boleh membantu dalam meningkatkan minat pelajar dan meningkatkan penglibatan murid, bukan sahaja dalam pembelajaran tentang sesuatu perkara, malah pembelajaran untuk mengintegrasikan pengetahuan ke dalam tindakan dengan menyelesaikan masalah, mengeksplorasikan alternative, dan melakukan penyelesaian yang kreatif ( Blatner, 2002). Menurut Brierly, Devonshire dan Hillman (2002) dalam Pollock (2006), teknik Main Peranan juga akan meningkatkan fungsi pengetahuan; kombinasi pengetahuan asas, pengetahuan tentang prosedur ( mengetahui bagaimana – memiliki kemahiran ) dan pengetahuan kondisi ( mengetahui tentang persekitaran untuk menggunakan kemahiran tersebut). Kaedah Main Peranan  mencipta satu persekitaran yang menggambarkan realiti sebenar dan ia memudahkan pelajar untuk menggunakan pemahaman mereka tentang sesuatu situasi. Murid-murid mendapat gambaran sebenar dalam isu-isu yang dibincangkan dalam kelas seterusnya memperkembangkan kemahiran praktikal profesional.

2.3      Teori
Teori-teori pembelajaran merujuk kepada prinsip-prinsip dan hukum-hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada ahli-ahli psikologi pendidikan. Melalui teori-teori pembelajaran ini, guru akan memahami pelbagai cara pelajar-pelajar belajar dan seterusnya menghubungkaitkan prinsip dan hukumnya dengan kaedah dan teknik mengajar untuk mencapai objektif pengajaran.
2.3.1 Teori Pembelajaran Main Peranan
Teori utama yang digunakan dalam kajian ini adalah teori konstuktivisme. Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti tetapi tidak begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boeh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan iut mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaiatu aktiviti mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.
Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untik dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme. Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid. Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara, di mana ada yang betul dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.
John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dari persepektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid meniur dengan tepat apa saja yang disampaikan oleh guru kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu konsep daripada kaca mata murid.



2.4  Model
Pelbagai model dibina untuk memberi panduan kepada guru ke arah mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Sistem penyampaian ialah kaedah di mana maklumat dibawa daripada sumber ke penerima dan sebaliknya untuk tujuan pengajaran. Dalam kajian ini, penyelidik telah mengambil satu model kajian yang dikemukakan oleh Heinich dan rakan-rakan (1999).
         Model yang digunakan merupakan model ASSURE. Model ASSURE ialah akronim bagi menghuraikan prosedur dalam memilih dan mengguna media pengajaran secara umum. Terdapat 5 komponen yang dapat dihuraikan daripada model tersebut iaitu A-Analyze Leaners, S-State Objectives, S-Select Methods, Media and Materials, U-Utilize Media and Materials, R-Require Leaner Perticipantion, E-Evaluate and Revise.
         Dalam kelas, pelajar perlu dianalisis dari segi ciri-ciri umum seperti peringkat umur, tahap kemahiran intelektual, stail belajar sebelum sesuatu kemahiran dipilih dan digunakan. Pendekatan yang dipilih hendaklah sesuai dan mengambil kira kemampuan pelajar.
         Pernyataan objektif dalam merancang sesuatu pengajaran adalah amat penting. Objektif ialah suatu pernyataan yang spesifik tentang kebolehan atau prestasi yang akan dipelajari atau ditunjukkan oleh pelajar selepas mengikuti pelajaran (Norhashimah, Mazenah & Rose, 1996). Objektif membantu guru mengenal pasti prestasi yang hendak dibentuk, menyusun strategi pengajaran dan membentuk kriteria untuk membuat penilaian.
         Dalam komponen memilih kaedah, media dan bahan (select methods, media and materials) untuk pengajaran, guru perlu menimbang ciri-ciri pelajar, bentuk objektif, pendekatan pengajaran dan kekangan situasi pengajaran. Guru boleh mengubahsuai ABM yang dipilih atau mereka membentuk semula supaya menepati dan sesuai dengan tahap pelajar.
         Model ASSURE mencadangkan agar dalam langkah U (utilize media and material), guru harus terlebih dahulu mengguna media dan bahan pengajaran sebelum memulakan pengajaran. Guru perlu mengenal pasti bentuk persiapan terhadap persekitaran yang perlu disediakan ketika bahan itu digunakan seperti infrastruktur baik dari segi kedudukan kelas, perkasasan dan perisisan dan jenis aktiviti yang hendak dijalankan sesuai dengan objektif pelajaran.
         Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan memerlukan penyertaan pelajar (require leaner participant). Menurut model ASSURE, media pengajaran yang baik membolehkan penyertaan dan respons pelajar berinteraksi serta mendapatkan maklum balas. Aktiviti dan teknik pengajaran yang sesuai dilaksanakan dalam kelas supaya menggalakkan penglibatan pelajar. Ia boleh berlaku secara individu atau secara kumpulan. Minat dan motivasi kendiri pelajar akan meningkatkan penglibatan mereka dalam proses pembelajaran.
         Komponen terakhir adalah menilai dan mengulang kaji (evaluate and revise). Penilaian ini dijalankan bukan sahaja di peringkat penggunaan tetapi di semua peringkat pengajaran. Aspek strategi penyusunan pengajaran oleh guru seperti penetapan objektif, respon pelajar, pengamatan serta prestasi pelajar dalam kuiz dan kemahiran.





Rajah2.3: Model ASSURE (Heinich & rakan-rakan, 1999) dalam menentukan ketepatan dan langkah persediaan dalam pemilihan alat bantu mengajar (model)
                   A       Analyze Leaner
                                                                  (Analisis Ciri-ciri Pelajar)
                   S       State Objectives
                                                                  (Menyatakan Objektif)
                   S       Select Methods, Media and Materials
                                                               (Memilih Kaedah, Media, dan Bahan)
                    U       Utilize Media and Materials
                                                                 (Menggunakan Media dan Bahan)
                   R       Require Leaner Participantion
                                                                 (Memerlukan Penyertaan Pelajar)
                   E        Evaluate and Revise
                                                                 (Menilai dan Mengulang Kaji)
                                                                    





 (Heinich & rakan-rakan, 1999)      
2.5 Kajian Lepas
   2.5.1 Kajian Dalam Negara
Menurut kajian yang telah dibuat oleh Naginder Kaur dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, beliau mendapati terdapat hubungan positif antara konsep diri dengan penyertaan pelajar dalam teknik pembelajaran Main Peranan. Ia boleh dilihat melalui indikator seperti kegelisahan yang berpanjangan, kemahiran berbahasa, pengaruh daripada pandangan kendiri, peranan pensyarah, impak dominator, kesesuaian sama seperti mood pelajar. Kajian juga telah mendapati bahawa pelajar mengalami perubahan dalam konsep diri, seperti yang dipamerkan dalam kegelisahan yang semakin berkurangan, kesedaran tentang kekuatan dan kelemahan diri mereka dan memperoleh keadaan sebenar sesuatu situasi, perubahan dalam kemahiran berbahasa, hubungan positif antara pandangan kendiri dengan kesesuaian tugasan yang telah diberikan.
Pramela Krish (2001) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi telah melakukan kajian yang bertajuk ‘Role Play Activity With Distance Learners In An English Language Classroom’. Beliau menyatakan bahawa kaedah Main Peranan dapat membantu meningkatkan tahap kelancaran komunikasi dengan cara meningkatkan interaksi dalam kelas dan memotivasikan mereka untuk belajar. Tambahan pula, Kaedah Main Peranan akan memberi pelajar peluang untuk bercakap dalam pelbagai konteks sosial. Dalam hal lain, Kaedah Main Peranan juga dapat membantu pelajar yang malu untuk bercakap dengan lancar dalam sesuatu situasi. Hal ini kerana mereka perlu mengenepikan rasa malu mereka yang hanya menyebabkan kesukaran untuk berkomunikasi. Mereka akan turut serta secara aktif dalam proses pembelajaran dan menjadikan mata pelajaran mereka menjadi lebih bermakna dimana pelajar mungkin terdedah kepada pelbagai kaedah pembelajaran seperti mendengar, mengingat skrip, berbincang, menulis skrip dialog dan Cue Card kemudian mempersembahkan peranan-peranan mereka berdasarkan permainan dan penulisan.
2.5.2 Kajian Luar Negara
Mengikut kajian yang telah dibuat di luar negara, kebanyakan keputusan menunjukkan kesan yang positif. Mark Sutcliffe (2002) dalam kajiannya mendapati bahawa kaedah Main Peranan akan memberi pemahaman kepada pelajar dan juga sebagai penghargaan kepada alternatif -alternatif lain yang digunakan pelajar. Ia akan menggalakkan pelajar-pelajar untuk mempamerkan idea mereka sendiri dan seterusnya lebih faham akan posisi atau kedudukan orang lain. Menurut Wahibee (2004), kaedah Main Peranan adalah satu kaedah yang efektif yang mana pelajar akan dapat merasai situasi sebenar yang lebih realistik. Dalam kajian yang dibuat oleh Maciej Karwowski dan Marcin Soszynski (2008), mereka mendapati bahawa penggunaan kaedah Main Peranan dalam pengajaran dan pembelajaran akan meningkatkan kreativiti pelajar, merangsang imaginasi pelajar dan meningkatkan motivasi belajar.








2.6 Kerangka Konseptual

Bahasa Inggeris

Ujian Pra dan Pos

Skor Pencapaian

 Kaedah pembelajaran Main Peranan
 









I.  Pemboleh ubah bebas  adalah kaedah pembelajaran Main Peranan dan Kad Peranan yang diberi  kepada setiap pelajar yang terlibat.
II. Pemboleh ubah terikat adalah skor pencapaian; dikaji dengan menggunakan set ujian pra dan pos.
2.7 Penutup
Kajian-kajian yang dibuat berkaitan dengan Kaedah Main Peranan menunjukkan bahawa kaedah ini amat berkesan dalam meningkatkan motivasi belajar disamping kefahaman serta kemahiran murid bertutur Bahasa Inggeris.

Bab 3 : Metodologi Kajian
3.1      Pengenalan
Bab ini akan membincangkan metodologi kajian yang merangkumi aspek reka bentuk kajian yang digunakan, sampel kajian yang terlibat, instrumen kajian, prosedur pengumpulan data dan prosedur penganalisisan data. Menurut Mohd Majid Konting (1990), kaedah penyelidikan merujuk kepada cara mendapatkan maklumat yang boleh mencapai objektif sesuatu peyelidikan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan kaedah Main Peranan dalam kalangan murid Tahun Enam SK. Bolong, Tuaran terhadap minat dan pencapaian mereka dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Maklumat yang dikumpul kemudiannya akan dianalisis bagi menentukan sama ada maklumat tersebut mempunyai kaitan atau tidak dengan hipotesis yang diutarakan oleh pengkaji dalam Bab 1.
3.2      Pendekatan / kaedah kajian
Kajian ini adalah berbentuk Quasi-eksperimen  dimana soal selidik akan dijalankan untuk mengkaji minat dan pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Terdapat dua kumpulan pelajar yang terlibat iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Pengkaji akan mengedarkan satu set soal selidik yang bertujuan untuk mengkaji minat murid terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris. Soal selidik ini mengandungi soalan umum dan mudah untuk diisi oleh murid. Soal selidik ini juga dibina sendiri oleh pengkaji dan diberikan kepada murid kumpulan rawatan sahaja sebelum dan selepas pembelajaran Kaedah Main Peranan dijalankan. Soal selidik berbentuk skala likert dimana murid perlu memilih jawapan mengikut skala yang diberikan iaitu skala 5 sebagai ‘sangat setuju’, 4 ‘setuju’, 3 ‘kurang setuju’, 2 ‘tidak setuju’ dan skala 1 sebagai ‘sangat tidak setuju’.
         Seterusnya pengkaji akan mengedarkan satu lagi set soalan ujian pra iaitu ujian peringkat awal terhadap murid kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan untuk mengetahui pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
         Selepas ujian pra dijalankan, kumpulan rawatan akan didedahkan dengan kaedah pembelajaran Main Peranan manakala kumpulan kawalan diajar dengan kaedah tradisional. Setelah kedua-dua buah kelas selesai belajar Bahasa Inggeris berdasarkan sukatan pelajaran dengan menggunakan kaedah Main Peranan, maka set soalan ujian pasca akan diedarkan. Kemudian barulah proses penilaian kajian bermula. Reka bentuk kajian diringkaskan seperti dalam Jadual 1.
Reka bentuk Kajian
­­­­­­­­­­­­­­­­­­    Kumpulan                         Sebelum                                        Selepas
    Rawatan                      Soal selidik minat                           Soal selidik minat
                                     Ujian pra penilaian                           Ujian pos penilaian
     Kawalan                     Ujian pra penilaian                               Ujian pos penilaian
Jadual 1

3.3      Sampel / Populasi Kajian
Sampel kajian merupakan cerapan ke atas sekumpulan individu atau objek. Mohd Majid (1990) menyatakan individu atau objek yang dicerap mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri atau sifat yang sama antara satu sama lain. Sampel kajian adalah terdiri daripada murid-murid Tahun Enam SK. Bolong, Tuaran. Kesemua sampel yang dipilih merupakan murid satu kelas yang akan belajar menggunakan kaedah Main Peranan dan satu kelas lagi menggunakan kaedah tradisional. Kedua-dua kelas yang dipilih adalah di tahap pencapaian sederhana, iaitu terdiri daripada murid pintar dan sederhana lemah. Pemilihan sampel ini berdasarkan sampel secara rawak.
3.4      Instrumen Kajian
Pengkaji  menggunakan dua instrumen dalam kajian ini iaitu dua set soal selidik dan dua set ujian pemahaman. Menurut Sidek Mohd Noah (2002), penggunaan borang soal selidik dapat membantu dari aspek standardisasi kajian yang akan dijalankan. Empat instrumen yang digunakan dinyatakan dibawah.
    3.4.1          Set Borang I Soal Selidik Peribadi Responden
Soal selidik yang dijalankan dalam kajian ini memerlukan responden memilih jawapan yang tepat terhadap soalan yang dikemukakan. Berdasarkan kepada cadangan-cadangan jawapan yang disediakan, soal selidik ini adalah bertujuan untuk mendapatkan jawapan yang betul dan tepat bagi memudahkan teknik analisis yang akan digunakan. Soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B. Bahagian A terdiri daripada item-item seperti jantina, bangsa, pekerjaan bapa atau penjaga, pendapatan keluarga, bilangan ahli keluarga dan taraf pendidikan ibu bapa. Bahagian B pula adalah berkaitan dengan kekerapan murid membuat latihan dan bertutur Bahasa Inggeris serta minat responden terhadap mata pelajaran tersebut. Borang ini diedarkan kepada responden pada hari pertama pengkaji masuk ke kelas. Responden diberi masa 10 minit untuk mengisi borang tersebut sebelum borang tersebut dikutip semula oleh pengkaji.
 
 3.5.2 Borang II Soal Selidik Responden
Borang II Soal Selidik Resonden yang dibuat oleh pengkaji mengandungi 19 item soal selidik. Soal selidik itu adalah berkaitan dengan pendapat responden mengenai kaedah pembelajaran Main Peranan yang digunakan oleh pengkaji untuk mengajar mereka di dalam kelas. Di samping itu, soal selidik tersebut juga adalah bertujuan untuk mengetahui sejauh mana minat mereka terhadap mata pembelajaran Bahasa Inggeris setelah pengkaji menggunakan kaedah pembelajaran Main Peranan. Alat ukur yang dibentuk untuk mengukur minat responden terhadap pembelajaran Main Peranan terdiri dari item-item berskala likert 5 pilihan dengan skor 1 (Sangat Tidak Setuju), 2 (Tidak Setuju), 3 (Kurang Setuju), 4 (Setuju) dan 5 (Sangat Setuju). Skor skala likert ditunjukkan pada jadual 2 di bawah. Borang ini diedarkan oleh pengkaji setelah menggunakan kaedah pembelajaran Main Peranan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Borang soal selidik ini juga hanya diberikan kepada kumpulan rawatan sahaja. Hal ini kerana kumpulan kawalan tidak diajar menggunakan kaedah pembelajaran Main Peranan. Pengkaji meminta responden menjawab borang ini setelah ujian pos dijalankan. Pengkaji memberikan masa selama 10 minit kepada responden untuk menjawab sebelum borang ini dikutip semula pengkaji untuk dianalisis. 





Jadual 2 : Skor Skala Likert








3.4.3  Set Ujian Pra
Set ujian pra merujuk kepada set ujian yang mengukur kemampuan murid untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang dibentuk oleh pengkaji berdasarkan sukatan pelajaran Bahasa Inggeris. Set ujian ini adalah berbentuk subjektif dimana responden diminta memberi pendapat mereka berdasarkan situasi yang diberi dalam kertas ujian mereka. Set ujian ini mengandungi 2 soalan dimana murid dikehendaki memilih satu soalan sahaja dan soalan ini diperuntukkan dengan 40 markah yang meliputi tahap kelancaran berbahasa, kefahaman pada soalan, ketepatan jawapan yang diberi dan keyakinan diri murid. Maka, markah minima untuk ujian ini ialah sifar dan markah maksima ialah 40. Tahap kemahiran yang diuji adalah sama dengan ujian pos kecuali angka-angka yang diubah bagi melihat perubahan keputusan yang berlaku. Set ujian ini diedarkan kepada responden di dalam kumpulan kawalan dan juga kumpulan rawatan dan responden diminta menjawab dalam masa 10 minit sahaja. Guru-guru Bahasa Inggeris dan pengkaji akan menilai murid satu persatu berdasarkan urutan abjad nama dan markah akan diberi. Set ujian pra digunakan pada sesi pertama pengajaran pengkaji di dalam kelas. Pencapaian murid daripada ujian ini akan digunakan untuk mengkaji sejauh mana tahap pembelajaran murid tanpa penggunaan kaedah Main Peranan.  
   3.4.4   Set Ujian Pos
Set ujian ini adalah soalan yang mengkehendaki murid untuk menjawab dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris di hadapan guru. Set ujian ini mengandungi 1 soalan yang setiap satunya  berbentuk subjektif di mana responden diminta memberi pendapat berdasarkan soalan yang diberikan. Markah maksima adalah 40 markah yang meliputi kelancaran berbahasa Inggeris, kefahaman pada soalan, ketepatan jawapan dan keyakinan diri bertutur dalam Bahasa Inggeris. Set ujian ini diedarkan kepada responden di dalam kumpulan kawalan dan juga kumpulan rawatan dan guru-guru akan menilai murid satu persatu berdasarkan urutan abjad nama. Responden diminta menjawab dalam masa 10 minit sahaja. Pencapaian murid daripada ujian ini akan digunakan untuk mengkaji sejauh mana keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran secara Main Peranan.
3.5      Prosedur kajian
Kajian ini menggunakan dua jenis data iaitu data primer dan data sekunder. Data primer diperoleh daripada responden iaitu merujuk kepada borang soal selidik yang diedarkan manakala data sekunder diperoleh daripada perpustakaan dan internet. Pengkaji menentukan bidang yang hendak dikaji melalui pembacaan kajian-kajian lepas serta rujukan daripada perpustakaan dan internet.
         Kajian ini menggunakan reka bentuk Quasi eksperimen. Ujian pra telah diberikan kepada kedua-dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan pada awal kajian. Selepas tempoh tertentu, pelajar dari kedua-dua kumpulan diberikan ujian pos.
         Pengumpulan data akan dijalankan oleh pengkaji di dalam kelas Tahun Enam yang terlibat. Semua murid dari kedua-dua buah kelas akan menjawab soal selidik yang pertama yang akan digunakan untuk mengkaji latar belakang sampel. Pengkaji akan membuat penilaian terhadap faktor-faktor latar belakang sampel yang mungkin mempengaruhi keputusan kajian berdasarkan borang soal selidik yang diedarkan.
         Set soalan atau ujian pra akan dijalankan di kedua-dua buah kelas dan keputusannya akan digunakan untuk memperolehi data tentang pengetahuan sedia ada, tahap pencapaian sampel, kebolehan berkomunikasi, dan minat.
         Ujian kedua atau ujian pos pula bertujuan untuk mengkaji sejauh mana keberkesanan sesi pembelajaran secara Main Peranan mahupun secara tradisional. Ujian ini mengandungi 2 soalan pilih satu yang meminta murid untuk memberi pendapat terhadap soalan subjektif yang diberikan dari pelbagai aras. Masa yang diberikan adalah 10 minit sahaja.
         Murid diminta memberi jawapan secara jujur dan mengikut kesesuaian diri mereka sendiri dan bukannnya mengikut tanggapan orang lain atau mana-mana pihak. Segala maklumat yang diberi dirahsiakan dan ia hanyalah digunakan untuk tujuan kajian semata-mata. Jawapan yang diberikan seharusnya bersifat terbuka, jujur dan ikhlas. Borang soal selidik dan markah penilaian akan dikumpul semula untuk dianalisis.


3.7      Prosedur Penganalisisan Data
Menurut Mohd Majid (2000), pemprosesan data merupakan teknik pengumpulan, pengolahan, penganalisaan, penyimpanan dan pengeluaran data. Data yang dipungut melalui soal selidik dianalisis menggunakan perisian komputer iaitu Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS) Version 15.0. Analisis deskriptif digunakan untuk memerihalkan maklumat tentang profil responden. Perisian SPSS merupakan perisian yang digunakan untuk mendapat keputusan dalam bentuk frekuensi, peratusan dan min. Kekerapan min dan peratusan merupakan parameter-parameter yang akan digunakan dalam menilai setiap item yang terdapat di dalam borang soal selidik (Mohd. Salleh Abu, 2001).
         Data yang dikumpul dari instrumen kajian ini akan dianalisis mengikut tiga jenis data atau maklumat. Maklumat berkaitan minat pelajar yang diperolehi daripada borang soal selidik dianalisis menggunakan statistik deskriptif iaitu kekerapan, peratusan dan skor min.   Maklumat kedua yang berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid dan tahap pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris dianalisis menggunakan min dan sisihan piawai. Keputusan pencapaian murid dengan pembelajaran secara kaedah Main Peranan dan murid dengan kaedah tradisional dibandingkan. Maklumat ini diperolehi daripada ujian pasca dan data yang diperolehi dianalisis menggunakan min dan sisihan piawai.
3.8      Penutup
Keseluruhannya apa yang terkandung dalam bab ini adalah penerangan mengenai tatacara yang dilalui oleh penyelidik dalam proses sebelum, semasa dan selepas kajian dilakukan. Prosedur yang dirancang di dalam bab ini bertujuan untuk memudahkan proses penyelidikan dilakukan.


Bibliografi
McDonough, J. and Show, (1993). C Materials and Methods in ELT. Cambridge, MA: Blackwell
Curran, C. A. (1972). Counseling-Learning. New York: Rune and Stratton, Inc.
Stern, S.L. (1980). Drama in Second Language Learning from a Psychological Perspective. Language learning 30 77-97.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2002). Kamus Dewan; Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maros, M. (2007). Penyelidikan Lakuan Bahasa:Pemilihan kaedah dan Pola Penemuan. Akademika , 91-115.
Adam Blatner (2002, August 2). Role Playing In Education. Retrieved October 2009, from www.blatner.com: http://www. blatner.com/adam/pdntbk/rlplayedu.htm
Pollock, D. K. (2006). Role Play as a Teaching Method:A Practical Guide. Mekong: Ubon Ratchathani University.
Sutcliffe, M. (2002, October). The Press Briefing Role Play. Retrieved October, 2009, from Economics Network Web Site: http://www.economicsnetwork.ac.uk/showcase/sutcliffe_press
A-Wahibee, K. M. (2004). Revival of Role-play: The Effectiveness of Role-play Activities In Learning English As A Foreign Language By Saudi College Students. Language And Translation , 25-48.
Maciej Karwowski, M. S. (2008). How to develop creative imagination? Assumption, Aims, And Effectiveness Of Role Playing Training In Creativity (RPTC). Thinking Skill And Creativity , 163-171.
Konting, M. M. (1990). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noah, S. M. (2002). Reka Bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori dan Praktis. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Konting, M. M. (2000). Kaedah Penyelidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Abu, Z. T. (2001). Pengenalan Kepada Analisis Data Berkomputer SPSS 10.0 For Windows. Kuala Lumpur: Venton Publishing.
Pramela Krish. (2001, July). A Role Play Activity with Distance Learners in an English Language Classroom. Retrieved October from The Internet TESL Journal, Vol. VII, No. 7, website : http://iteslj.org/:http://iteslj.org/Article/Krish-RolePlay.htm

9 comments:

  1. salam boleh saya dapatkan contoh borang kaji selidik saudara? kebetulan saya sedang melakukan kajian main peranan ni.

    ReplyDelete
  2. SALAM . SAYA JUGA INGIN MENDAPATKAN CONTOH BORANG SOAL SELIDIK SAUDARA YANG MANA SAYA JUGA MENJALANKAN KAJIAN MENGENAI MAIN PERANAN TETAPI DALAM MATAPELAJARAN LAIN

    ReplyDelete
  3. Salam. boleh tak saya nak tau latar belakang penyelidik? saya nak jadikan thesis ni sebagai rujukan saya. thanks.

    ReplyDelete
  4. salam boleh saya tahu latar belakang penyelidik? untuk jadikan rujukan thesis saya

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum, maaf menganggu kamu. Boleh saya dapatkan borang soal selidik kamu kerana saya juga sedang menjalankan kajian tentang teknik main peranan untuk bahasa Melayu. Kalau kamu izinkan, boleh saya dapatkan borang tersebut untuk rujukan saya? terima kasih

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum tuan, maaf menggangu. boleh saya dapatkan borang soal selidik berkenaan tajuk kajian ini? Saya ingin membuat rujukan kerana saya juga sedang menjalankan kajian berkenaan tajuk ini

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum tuan, maaf menggangu. boleh saya dapatkan borang soal selidik berkenaan tajuk kajian ini? Saya ingin membuat rujukan kerana saya juga sedang menjalankan kajian berkenaan tajuk ini

    ReplyDelete