Wednesday, April 18, 2012

Budaya Sekolah dan Etika Guru Pendahuluan

Salah satu keunikan dan keunggulan sebuah sekolah adalah memiliki budaya sekolah (school culture) yang kukuh, dan efesien. Perpaduan semua unsur (three in one) baik pelajar, guru, dan ibubapa yang bekerjasama dalam menciptakan komuniti yang lebih baik melalui pendidikan yang berkualiti, serta bertanggung jawab dalam meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah, menjadikan sebuah sekolah unggul dan terkenal di mata masyarakat.
Menurut Deal dan Peterson (1999), budaya sekolah adalah sekumpulan nilai yang melandasi perilaku, tradisi, kebiasaan keseharian, dan simbol-simbol yang dipraktikkan oleh pengetua sekolah, guru, petugas pentadbiran, pelajar, dan masyarakat sekitar sekolah. Budaya sekolah merupakan ciri khas, karakter atau watak, dan citra sekolah tersebut di masyarakat luas.
Sebuah sekolah harus mempunyai misi menciptakan budaya sekolah yang mencabar dan menyenangkan, adil, kreatif, terintegratif, dan dedikatif terhadap pencapaian visi, menghasilkan pelajar yang berkualiti tinggi dalam perkembangan intelektualnya dan mempunyai karakter takwa, jujur, kreatif, mampu menjadi teladan, bekerja keras, toleransi dan cekap dalam memimpin, serta dapat mengembangkan sumber daya manusia yang dapat berperanan dalam perkembangan intelek.
Budaya sekolah yang harus diciptakan agar tetap efesien adalah dengan mengembangkan budaya keagamaan (Religi), Budaya kerjasama (team work), Budaya Kepemimpinan (team work).

1. Budaya Keagamaan (Religi) :
Menanamkan perilaku atau tatasusila yang tersistematik dalam pengamalan agama masing-masing sehingga terbentuk kepribadian dan sikap yang baik serta disiplin dalam berbagai hal.
Bentuk Kegiatan :
Budaya Salam, Doa sebelum/sesudah belajar, Doa bersama menyambut Tadarus, Hijrah dan Mauridul Rasul, Solat zohor Berjemaah, Belajar Amalan Ramadhan, Hafalan Al-Quran, Kegiatan Praktik Ibadah, Buka Puasa Bersama,

2. Budaya Kerjasama (Team Work) :
Menanamkan rasa kesamaan dan rasa sosial melalui kegiatan bersama
Bentuk Kegiatan :
Kunjungan Industri, Hari keluarga, sukan dan seni, Kunjungan tempat bersejarah, Pentas Seni, Seragam Sekolah, Majalah Sekolah, Buku Tahunan.

3. Budaya Kepimpinan (Leadhership) :
Menanamkan jiwa kepemimpinan dan keteladanan dari sejak mula.
Bentuk Kegiatan :
Hari kerjaya; budaya kerja keras, cerdas dan ikhlas, budaya Kreatif; Mandiri & bertanggung jawab, Budaya disiplin, Ceramah Umum.

Budaya Sekolah
Budaya sekolah merupakan suatu sistem sosial yang kompleks. Guru menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar dalam bilik darjah sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada sistem sosial di sekolah. Guru bukan sahaja memerlukan suasana bilik darjah yang kondusif dan menarik bagi menyampaikan pengajaran berkesan tetapi juga memerlukan suasana dan persekitaran keseluruhan sekolah yang teratur dan terurus dengan baik. Dengan ini tersandarlah tanggungjawab kepada pengetua dan guru besar untuk membentuk budaya dan iklim sekolah yang baik. Dengan kata lain, budaya sekolah yang baik turut membantu dan menyokong keberkesanan pengajaran guru dalam bilik darjah. Iklim sekolah yang berkesan sering dikaitkan dengan kepatuhan pelajar terhadap peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Cerminan iklim sekolah yang baik itu ialah pelajarnya sentiasa menghargai masa, patuh kepada arahan guru dan sentiasa bersedia mengharumkan nama serta imej sekolah.




Antara budaya sekolah ialah:
1. Budaya Ilmu
Istilah budaya merujuk kepada cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir. Ilmu pula bermakna cara memperolehi dan mengendali maklumat dan pengalaman. Oleh yang demikian, budaya ilmu membawa erti cara memperoleh maklumat serta mengendalinya. Ini akan merangkumi aktiviti-aktiviti seperti membaca, berfikir, bermusyawarah dan refleksi.
I. Budaya Membaca
Budaya membaca merupakan amalan yang penting dalam hidup kita. Melalui amalan membaca, seseorang insan akan memperolehi pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti pengetahuan tentang agama, falsafah, sastera, sains, matematik, nilai, kepercayaan dan moral. Budaya membaca juga menggalakkan perkembangan mental. Hasil daripada itu, pelajar-pelajar berkenaan akan lebih berupaya melakukan pemikiran kritis dan analitis.
II. Budaya Berfikir
Budaya berfikir hendaklah dipupuk dikalangan pelajar. Ini bermakna, para pelajar tidak hanya menerima apa sahaja yang disampaikan oleh guru. Mereka hendaklah dilatih untuk menyoal tentang apa sahaja yang mereka kurang faham. Setelah dibina sikap ingin bertanya, baharulah dikatakan bahawa guru berkenaan telah berusaha kearah memupuk budaya berfikir. Berfikir merupakan aktiviti menggunakkan akal untuk menyelesaikan sesuatu. Para pelajar boleh dipupuk melakukan pemikiran konvergen, divergen, induktif, deduktif, kreatif, membina, kritis, vertical atau menegak, lateral atau mendatar.
III. Budaya Berkarya
Budaya berkarya merupakan sesuatu usaha untuk menyebarkan ilmu pengetahuan melalui hasil penulisan sama ada dalam bentuk buku, artikel, karangan, puisi, syair, pantun dan sebagainya. Segala hasil kerja itu akan membolehkan anggota masyarakat lain memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sikap baharu juga akan dapat dipupuk melalui hasil karya tersebut.
IV. Bermusyawarah
Istilah bermusyawarah membawa makna berunding. Perundingan yang diadakan dengan individu lain akan membolehkan seseorang memperoleh atau menyebar ilmu. Jika seseorang itu bermusyawarah dengan orang lain yang lebih berilmu, maka dia akan memperoleh ilmu yang baharu. Sebaliknya, jika seseorang yang lebih berilmu bermusyawarah dengan individu lain, dia pula akan menyebarkan ilmu.
V. Refleksi
Refleksi merupakan satu teknik membuat pertimbangan teliti tentang segala tindakan yang telah dijalankan oleh seseorang individu. Budaya refleksi amat berguna kerana ia membantu seseorang membuat analisis tentang tindakannya. Jika seseorang guru pelatih telah selesai mengajar pelajar-pelajar, dia akan memikirkan set induksi untuk menarik minat pelajar-pelajar, langkah-langkah perkembangan dan cara menutup pelajaran. Dia juga akan memikirkan sama ada alat bantuan mengajar yang telah digunakan itu berkesan atau tidak. Dia juga memikirkan sama ada objektif-objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai atau tidak. Refleksi seperti ini tentu akan membantu guru itu meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Budaya ilmu di sekolah dapat ditingkatkan melalui lima aspek, iaitu:
i. Meningkatkan semangat mahu belajar
ii. Merangsang para pelajar
iii. Meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
iv. Meningkatkan penguasan bahasa Inggeris
v. Meningkatkan keinginan untuk menyelidik
2. Budaya Kerja Sekolah
a) Memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara
dan falsafah, matlamat dan objektif sekolah.

b) Memelihara dan mempertingkatkan imej sekolah, jabatan
dan kementerian pendidikan setiap masa.

c) Mementingkan mutu dan kesan pendidikan.

d) Mengamalkan kerja secara bermesyuarat dan berpasukan.

e) Sentiasa bekerja dengan bersih, cekap dan amanah.


3. Budaya Nilai Murni di Sekolah
Teknik Penerapan Nilai Murni
Walaupun nilai-nilai murni diwar-warkan untuk dilaksanakan dan diserapkan dalam pendidikan, jika tidak ada teknik yang sesuai ianya tidak akan mencapai matlamat dan keberkesanannya. Antara cara yang dikenalpasti untuk menerapkan dan menyerap serta menyemai nilai-nilai murni ialah:
• Melalui matapelajaran tertentu (Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam)
• Penerapan nilai murni dalam matapelajaran lain
• Aktiviti ko-kurikulum
• Aktiviti persatuan sekolah
Melalui teknik-teknik di atas, penerapan nilai murni akan dapat dilaksanakan walaupun tidak sepenuhnya. Melalui matapelajaran tertentu, sekurang-kurangnya dengan mewajibkan pelajaran mengambil subjek yang berkenaan akan memberikan pengetahuan ataupun akan dapat menarik minat mereka untuk belajar.
Begitu juga dengan penerangan melalui matapelajaran lain yang mungkin berlaku secara langsung misalnya melalui perlakuan atau interaksi. Di sini pelajar akan dapat melihat dan membandingkan serta mengaitkan apa yang dipelajari dalam matapelajaran khusus tadi dengan apa yang dilihat sekarang. Disamping bimbingan guru-guru dasn ibubapa, kesedaran daripada pelajar itu sendiri amat penting dalam menetapkan situasi diri mereka sendiri.
Teknik ke tiga dan ke empat juga berlaku secara tak langsung di mana biasanya melalui teknik ini penerapan nilai-nilai murni akan lebih menyerlah. Penerapan nilai-nilai murni akan tertera dengan sendirinya. Jika kumpulan yang tidak mempunyai nilai murni mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bermasalah.
4. Budaya Pengurusan dan Pentadbiran Cemerlang
Pengurusan sesebuah sekolah yang berkesan memainkan peranan yang penting untuk memastikan sekolah berkenaan mencapai matlamat yang diharapkan. Jika sesebuah sekolah mengkehendaki keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka pentadbir sekolah berkenaan perlulah mempunyai matlamat dan strategi yang jelas untuk mencapai maksud yang diharapkan. Sesebuah sekolah yang berhasrat menuju ke arah kecemerlangan perlulah mempunyai pentadbir dan guru yang memainkan peranan yang berkesan. Oleh yang demikian, budaya pengurusan dan pentadbiran yang cemerlang di sekolah wajar dilaksanakan supaya semua kekuatan sama ada amalan pengurusan, kerjasama, pengajaran, komunikasi dan lain-lain yang membentuk budaya sekolah yang sihat dapat dikongsi bersama oleh sekolah lain.

5. Budaya Kepimpinan
Tanggungjawab
• menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setia dengan penuh minat, disiplin dan dedikasi.
• sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negara dan tidak mementingkan diri sendiri.
• sentiasa berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi.
• membuat pertimbangan yang teliti dan adil sebelum membuat keputusan dan tegas dalam melaksanakannya.
Sikap
• sensitif terhadap persekitaran kerja dan alam sekeliling dan berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
• sentiasa bersikap positif dan bertanggungjawab.
• mempunyai fikiran terbuka dan sedia menerima teguran dari semua pihak untuk faedah organisasi dan negara.
• mengambil berat tentang masalah yang dhadapi oleh rakyat.
• mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh rakan sejawat, baik pihak atasan mahupun rakan sejawat di bawahnya.
Perwatakan dan peribadi
• mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekerti dan perawakan yang baik.
• sentiasa bersabar dan tenang dalam menghadapi asalah dan cabaran.
• sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan.
• menjaga hubungan baik bagi setiap golongan masyarakat.
Etika Guru/ Profesion Perguruan

Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat.
Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya. Di samping itu, mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998). Mereka bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional.
Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu sehingga ke hari ini kita masih lagi mendengar beritaberita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman, Etika Profesion Perguruan (EPP) harus dikaji semula (Najib, 1977). Pengamalan EPP di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan mengajar seperti berikut;
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang
bertanggungjawab dan berkebolehan....
.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini
kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.

Ciri-Ciri Guru
Seorang pendidik mestilah sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri bagi membolehkan dirinya menjadi model kepada anak didiknya. Dalam melaksanakan tugas, cirri-ciri dan etika keguruan hendaklah sentiasa dipatuhi dan diamalkan.
Oleh itu, pendidik mestilah mempunyai semangat dan kesungguhan menabur bakti agar berupaya membawa kelainan serta memberi wajah baru pada prestasi, imej dan kualiti guru. Anjakan paradigma adalah perlu bagi memantapkan lagi sistem pendidikan negara sesuai dengan tuntutan dan perkembangan semasa.
Guru adalah penggerak daya usaha pembangunan rohani. Hasilnya, akan lahirlah generasi serba boleh yang pintar soleh. Generasi inilah nanti yang akan mencorakkan masa depan yang gemilang.
Demi menyahut cabaran-cabaran pendididkan dalam alaf baru ini, guru mestilah peka dengan amanah yang diberikan. Sesungguhnya, guru adalah perancang dan penggerak pendidikan bertaraf dunia. Usaha yang berterusan ke arah memperteguhkan kualiti pendidikan.


Tidak diragukan lagi bahawa guru yang mempunyai keperibadian yang baik akan meninggalkan kesan yang positif dalam diri anak didik mereka. Alat teknologi moden walau bagaimana canggih sekalipun tidak dapat mengambil peranan guru. Faktor manusia tetap diperlukan dalam proses pembentukan dan pematangan sahsiah murid. Sebab itu banyak kajian dibuat tentang cirri-ciri yang perlu ada pada seorang guru yang baik dan berkesan dalam pengajaran mereka.

Menurut Prof Omar al-Toumi al-Syibani sifat dan ciri seorang guru hendaklah merangkumi:

(a) Sifat Rohaniah

1. Keimanan yang kental kepada Allah yang maha sempurna
2. Keimanan kepada hari akhirat, hari pembalasan dan seluruh para Rasul
3. Sifat-sifat keimanan asas yang lain

(b) Sifat-Sifat Akhlak

1. Benar dan jujur
2. Menepati janji
3. Amanah
4. Ikhlas dalam perkataan dan perbuatan
5. Merendah diri
6. Sabar, tabah dan cekal
7. Ailm, pemaaf dan toleransi
8. Menyayangi murid, mementingkan orang lain, pemurah, zuhud dan qanaah

(c) Sifat Mental, Kejiwaan dan Jasmani

i. Sifat Mental
1. Cerdas (Kepintaran teori, amali dan sosial)
2. Menguasai mata pelajaran takhassus
3. Luas pengetahuan am
4. Cenderung kepada pelbagai bidang akliah, dan ilmiah yang sihat
5. Mengenal ciri, watak, kecenderungan dan keperluan murid
6. Fasih, bijak dan petah dalam penyampaian

ii. Sifat Kejiwaan

1. Sifat tenang dan emosi yang mantap
2. Optimistik dalam hidup, penuh harap kepada Allah dan tenang jiwa bila mengingatiNya.
3. Kepercayaan kepada diri dan mempunyai kemahuan yang kuat
4. Bersifat lemah lembut dan baik dalam pergaulan.
5. Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat

iii. Sifat Jasmani / Fizikal

I. Berperawakan tampan, kemas dan bersih
II. Sihat tubuh badan dan terhindar dari penyakit berjangkit atau tidak berjangkit
III. Menurut kajian soal selidik di kalangan para pelajar di sekolah menengah di negara –negara maju terdapat senarai yang menerangkan ciri-ciri guru yang diingini oleh pelajar.Antara cirri-ciri guru yang dikehendaki ialah guru tersebut:

1. Berkelakuan baik (penyayang dan penyabar)
2. Tidak berat sebelah
3. Berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas
4. Berdisiplin
5. Menguasai mata pelajaran dengan baik
6. Adil dalam pemarkahan
7. Sifat kelakar
8. Suka menolong pelajar di luar kelas
9. Memahami masalah pelajar
10. Mampu menarik perhatian pelajar
11. Amanah dan menunaikan janji
12. Berupaya membuat penghukuman yang betul
13. Mempunyai sahsiah yang dihormati
14. Mempunyai semangat persekolahan yang tinggi
15. Mempunyai arahan yang jelas dan spesifik
16. Boleh membezakan ‘intan dari kaca’
17. Mempunyai kemahuan yang kuat
18. Mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi
19. Tidak suka menghina murid atas kesalahan mereka
20. Tidak menyalahgunakan peraturan membenarkan murid dirotan
21. Luas pengetahuan am
22. Tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar
23. Suara yang baik-serak-serak basah
24. Mengenal titik kekuatan murid
25. Pandai memberi nasihat
26. Simpati terhadap kelemahan murid
27. Pandai memilih kata-kata
28. Memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji
29. Mengambil kira suasana murid di rumah
30. Boleh membuat ujian secara berkala
31. Mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan
32. Mengambil kira pengudaraan bilik darjah
33. Suka memberikan kerjasama
34. Bersemangat riadah atau kesukanan

Guru yang mempunyai sahsiah yang baik juga ialah guru yang mengamalkan etika keguruan yang standard. Kod etika berkenaan memperincikan secara khusus sifat dan ciri tertentu yang menjadi garis panduan guru-guru yang baik personaliti mereka.

Maksud Etika
1. Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka, 1995)
2. Prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994).
3. Tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
4. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.
Maksud Etika Profesional

Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.

Skop Etika Profesional
1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.

Kepentingan Etika Guru

Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana:
1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan. – Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. – Guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. – Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi. – Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. – Pengamalan etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli dalam organisasi (INTAN, 1991).

Etika Profesion Keguruan

Etika perguruan perlu dihayati melalui konsep tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh golongan pendidik sebagai suatu etika profesion keguruan. Bermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar. Antara tanggungjawab dalam etika guru ialah:

1. Tanggungjawab Terhadap Allah bagi guru yang beragama Islam

Etika guru muslim terhadap Allah ialah seperti berikut:

1. Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya.
2. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklahmenjadi amalan harian.
3. Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah.
4. Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam.
5. Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya.
6. Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.


2. Tanggungjawab Terhadap Diri

1. Sebagai seorang guru hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral.
2. Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal.
3. Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek.
4. Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada masyarakat dan negara.
5. Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.

3. Tanggungjawab Terhadap Ilmu

Guru hendaklah :
1. Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam.
2. Beriltizam dengan amanah ilmiah.
3. Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari.
4. Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan.
5. Dari semasa ke semasa guru hendaklah menelusuri sudut atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan.
6. Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

4. Tanggungjawab terhadap Profesion

1. Seorang guru tidaklah harus bertingkah laku negatif sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
2. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan.
6. Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat.
7. Dia haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya.
8. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain.
9. Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani.
10. Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan.
11. Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya dengan tingkah laku yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara.
13. Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama.
14. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapa mereka.
15. Dia haruslah bertingkah laku baik supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar.
16. Dia tidaklah harus menerima apa-apa bayaran daripada para pelajarnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran-bayaran yang disahkan.
17. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja-kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.
18. Dia tidaklah harus memaksa kepercayaan keagamaan, politik persendirian terhadap para pelajarnya.
19. Dia tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibu bapa para pelajar atau ahli-ahli masyarakat dalam menjalankan tugas-tugas profesionnya.
20. Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain.
21. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan).
22. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

5. Tanggungjawab Terhadap Pelajar

1. Seseorang guru hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap orang tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama.
3. Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran.
5. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.




6. Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat

1. Guru hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

7. Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara

1. Mengelakkan diri daripada meyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang boleh bertentangan dengan Rukunegara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warga negara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan tahap kehidupan morality, kebudayaan dan kecendikiawanan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

8. Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa

1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada penggunaan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

Kod etika keguru ini kalau benar-benar dipatuhi dan diamalkan akan membantu keberkesanan pangajaran guru. Perkataan keberkesanan pengajaran guru ini mungkin kabur pagi setengah pihak. Oleh itu ada baiknya kita menjelaskan maksud perkataan tersebut. Keberkesanan bermaksud pengajaran guru berkenaan mencapai puncak matlamat yang digariskan.










Penutup

Cabaran yang dihadapi oleh para guru dalam mengajar murid-murid zaman ini bukanlah suatu yang mudah. Guru berhadapan dengan kenakalan remaja yang semakin serius. Ibu bapa harus ikut serta dalam memudahkan kerja guru-guru di sekolah. Kerajaan wajar peka dengan keperluan persekolahan dan pembelajaran generasi baru yang semakin canggih dan pelbagai. Masyarakat juga mustahak memainkan peranan sebagai pemangkin kejayaan guru dan murid dalam pembelajaran mereka. Tanpa kerjasama semua pihak proses pendidikan tidak akan berjaya menghasilkan generasi yang baik dan matlamat pendidikan nasional.

Budaya sekolah perlu diterapkan dengan kerjasama semua pihak iaitu temasuklah budaya ilmu, budaya kerja, budaya nilai murni, budaya pentadbiran dan pengurusan dan budaya kepimpinan dalam membentuk budaya sekolah yang efesien. Ciri-ciri dan Etika profesion keguruan perlu difahami, dihayati dan diaplikasikan oleh setiap golongan pendidik bagi mencapai hasil yang maksimum dalam melaksanakan misi pendidikan Negara.

No comments:

Post a Comment