Wednesday, April 18, 2012

Huraikan konsep kepimpinan pendidikan. Mengapakah kepimpinan pendidikan begitu penting dalam proses pengurusan dan pentadbiran institusi pendidikan?

1.0 Pendahuluan

Pemimpin pendidikan boleh ditakrifkan sebagai pemimpin yang sentiasa bertindak ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan memuaskan guru-guru, serta sentiasa berusaha memperkembangkan pembelajaran murid. Dalam konteks ini, pemimpin pendidikan di sekolah boleh disama ertikan dengan pengetua. Pengetua bukan sahaja bertanggungjawab dalam memastikan pencapaian pelajar dalam bidang akademik, namun turut memastikan bahawa warga sekolahnya cemerlang serta berjaya mencapai visi serta misi yang dirancangkan. Kepimpinan pemimpin adalah sangat penting semasa proses pengurusan dan pentadbiran sebuah organisasi pendidikan (sekolah), khususnya semasa perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan (4P). Ia juga merupakan proses mempengaruhi pihak kedua untuk melakukan sesuatu yang dikehendakki.
Kemahiran pemimpin mempengaruhi staf-staf semasa mereka menjalankan tugas adalah penting, khususnya bagi menambahkan minat dan keyakinan diri (Koontz & O’Donnel 1972). Pemimpin harus memimpin, memandu, membimbing staf-staf kearah penyempurnaan matlamat organisasi mereka.
Pemimpin: pihak yang akan bertanggungjawab untuk menghubungi staf tentang rancangan dan strategi yang akan dijalankan, menyenaraikan tugas dengan jelas untuk diberitahu kepada staf, memberi kepuasan kerja, menyelesaikan masalah, memuji dan mengkritik, membimbing dan menunjuk ajar, memberi sokongan moral, menentukan kriteria dan piawai prestasi staf masing-masing, bersedia mengubahsuaikan perancangan sekiranya berlakunya konflik, menyesuaikan rancangan dengan keadaan semasa supaya kepuasan hati staf-staf dan matlamat organisasi akan dapat dicapai. Pekerja organisasi yang perlu menunjukkan kerjasama dan kesungguhan untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.
Kepimpinan adalah suatu proses untuk mengarah daya usaha staf-staf supaya mencapai matlamat organisasi (Hodgets 1975). Suatu proses seorang pengetua mendapatkan kerjasama staf-staf kearah penyempurnaan matlamat tertentu (Campbell, Corbally, Nystrand, 1983).
Kecemerlangan sesebuah organisasi dengan gaya kepimpinan pemimpin adalah berkait rapat. Pengurusan organisasi moden lebih banyak menggunakan hubungan manusia daripada menggunakan kuasa mengarah. Hubungan manusia yang tinggi akan berkait rapat kepada tahap prestasi staf sebuah organisasi.


2.0 Konsep kepimpinan pendidikan

Konsep kepemimpinan dapat didefinisikan sebagai keupayaan mempengaruhi, memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah laku subordinat atau orang bawahan seperti guru, staf dan pelajar. Mampu membentuk subordinat melakukan perubahan seperti dirancangkan. Juga melibatkan pengaruh dan kebolehan mengubah sikap dan tindakan subordinat dengan menggunakan pelbagai teknik (Koontz & Wilhrivh, 1992). Peranan sebagai pemimpin menguji kemampuan pengetua dalam membimbing warga sekolah hagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam situasi sekolah yang pelbagai (Rahimah, 2004). Keadaan ini terjadi kerana setiap perlakuan pengetua, dan bagaimana mereka melakukannya menjadi perhatian, bukan sahaja oleh warga sekolah malah ibu bapa dan masyarakat setempat (Fullan, 2000). Untuk memastikan peranan pemimpin itu berkesan, peranan ini mesti dimainkan dalam semua aktiviti pengurusan, khususnya aktiviti memupuk hubungan kerjasama dalam kalangan warga sekolah, mengawal penggunaan dan pengagihan sumber kewangan dan peralatan, serta membina iklim dan budaya sekolah yang selesa dan kondusif (Amer & Khuan, 2004; Blumberg & Greenfield, 1986; Dunford et al., 2000; Hughes, 1999; Robinson, 2001; Sergiovanni, 1987; Speck, 1999).

Di Malaysia masalah utama proses pengurusan dan pentadbiran di sesebuah sekolah adalah terhadap keupayaan seseorang pengetua memotivasikan staf-stafnya dan pelajar-pelajarnya.Ramai staf tidak puas hati dengan peranan yang mereka mainkan, kurang pengiktirafan, di samping bakat dan potensi yang dimilki tidak diberi perhatian. Staf-staf sentiasa cepat mengesan tingkah laku atau kelakuan seseorang pemimpin di dalam organisasi.
Oleh itu seseorang pemimpin perlu memastikan arah tuju organisasinya, berkeupayaan untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme staf-staf, menyelesaikan masalah yang dihadapi, kesanggupan menyokong dan membantu staf-staf, cuba mengenal pasti ketidakpuasan hati staf-staf yang tentunya akan menentukan corak kelakuan staf-staf di dalam organisasi (Morphet, Johns, Reller 1982).

Kepimpinan tidak dapat diasingkan dengan subordinat. Kepimpinan pengetua merupakan pelbagai aktiviti, perlakuan, kemahiran, sikap dan pengetahuan yang mencerminkan kebolehan dan kesediaan untuk mempengaruhi, menggerakkan, membimbing dan melatih individu subordinat dan komuniti ke arah mencapai matlamat sekolah.
Kepimpinan guru lebih kepada proses menerapkan visi, misi, mengurus bilik darjah, kurikulum dan kokurikulum, sukan, kaunseling dll. Dalam konteks hari ini, kepimpinan pendidikan harus mampu menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (DPK), Wawasan 2020, zero defect dan pendidikan bertaraf dunia, malah menjayakan PPIP (2006 – 2010).
Menurut Abdullah (1990), DPK digubal berteraskan perpaduan kaum yang berasaskan Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 – yang berhasrat untuk mencapai insan seimbang dari segi jasmani, emosi. Rohani dan intelek. .Secara ringkasnya ianya akan melahirkan bangsa taat setia, insan beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan, sejahtera, memenuhi modal insan untuk negara dan memberi peluang untuk semua kanak-kanak dalam negara.

DPK seperti yang termaktub dalam Ordinan Pendidikan 1957 – bertujuan membentuk dan akan meningkatkan sosiobudaya, ekonomi, dan politik negara. Akhirnya kepimpinan pendidikan harus faham bahawa kepimpinan yang perlu ditonjolkan adalah untuk mencapai perpaduan kaum, melahirkan modal insan yang bertanggungjawab, progresif, berdisiplin dan berorientasi sains dan teknologi.Kepimpinan pendidikan (pengetua, guru besar dan guru) harus peka dan faham maksud yang cuba disampaikan oleh negara semasa mereka menjalankan tugas.


3.0 Kepimpinan pendidikan dan wawasan pendidikan negara

Wawasan Pendidikan Negara adalah langkah konkrit bagi mencapai Wawasan 2020.
Kerana ia mampu melahirkan modal insan yang boleh memberi sumbangan mencapai matlamlat Wawasan 2020. Wawasan Pendidikan Negara dicetuskan dalam Persidangan Pendidikan Nasional 1993 oleh Datuk Dr Wan Zahid (bekas KPPM)

Proses perkembangan dan pembangunan bangsa dan negara berkait rapat dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan berkualiti akan melahirkan generasi atau modal insan yang sedar dan insaf dengan erti kehidupan dan tanggungjawab.Mereka akan memperkembangan potensi demi kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Tonggak kepada semua usaha ini adalah mewujudkan kepimpinan pendidikan yang mampu merealisasikan hasrat tersebut.

Dalam institusi pendidikan, pentadbiran dan pengurusan merupakan bahagian yang besar dalam sesebuah organisasi dan tidak boleh di pisahkan. Kedua-dua bahagian ini sangat penting di dalam usaha untuk menegak dan mengukuhkan lagi sesebuah badan organisasi. Tanpa salah satu bahagian ini, maka sesebuah organisasi yang wujud tidak akan lengkap, bermasalah dan tidak bertahan lama. Organisasi seperti sekolah memerlukan pengurusan dan pentadbiran yang kuat agar mampu mencapai objektifnya yang tersendiri. Namun demikian, terdapat sesetengah orang yang kurang jelas akan maksud dan konsep sebenar mengenai pengurusan dan pentadbiran disebabkan oleh pemahaman secara kasar yang mana kedua-dua bahagian ini hampir mempunyai maksud yang sama. Dalam organisasi yang berorientasikan fungsi perkhidmatan, pengurusan merupakan sebahagian daripada pentadbiran tetapi bagi institusi swasta yang mementingkan keuntungan, pentadbiran merupakan sebahagian daripada pengurusan, kerana ia lebih kepada pencapaian matlamat organisasi melalui penggunaan sumber-sumber secara ekonomi.
Membuat keputusan merupakan satu aktiviti tertentu yang dilakukan oleh pihak pengurusan sedangkan pihak pentadbiran menjalankan tugas-tugas rutin yang tidak menumpukan kepada kepentingan membuat keputusan. Justeru itu, saya ingin mengongsikan definisi sebenar pengurusan dan pentadbiran dalam sistem pendidikan melalui pembacaan terhadap beberapa buku.







4.0 Perbezaan antara konsep pentadbiran dan pengurusan

Menurut Newman (1963), dalam bukunya yang bertajuk Administrative Action, beliau mendefinisikan pentadbiran sebagai satu bimbingan, kepimpinan dan kawalan daya usaha kumpulan pekerja kearah pencapaian matlamat. Bagi Walker (1977), mendefinisikan pentadbiran sebagai satu proses untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti organisasi melalui pembentukan matlamat dan polisi dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapainya. Campbell (1983) pula, dalam bukunya Introduction to Educational Administration, mendefinisikan pntadbiran pendidikan sebagai pengurusan sesebuah institusi pendidikan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
Definisi-definisi di atas memberikan satu unsur penting iaitu ‘kakitangan’. ‘kakitangan’ merupakan orang yang ditadbir. Selain itu, terdapat juga unsur ‘pencapaian matlamat organisasi’. Sebagai seorang pendidik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan, saya telah memahami satu konsep mengenai pentadbiran yang mempunyai tanggungjawab untuk mempengaruhi tingkah laku kakitangan atau orang bawahan. Hal ini selaras dengan usaha sesebuah organisasi kearah pencapaian matlamat. Seperti yang dinyatakan oleh Newman dan Walker melalui definisi pentadbiran, didapati bahawa pihak atasan merupakan pembuat polisi dan menentukan matlamat organisasi. Seterusnya, mari kita lihat pula definisi- definisi yang diberikan oleh beberapa lagi penulis buku yang telah menjalankan kajian terhadap maksud pengurusan.
Menurut Denyer (1977), pengurusan ialah proses mengarah dan mengawal sesuatu institusi yang melibatkan perancangan dan pengarahan terhadap tugas-tugas kakitangan. Dalam masa yang sama, ia juga merupakan arahan dan kawalan kepada empat factor, iaitu manusia, kewangan, bahan mentah dan alatan. Bagi Thierauf (1977) dalam bukunya yang bertajuk Management Principles and Practices: A Contingency and Questionnaire Approach, pengurusan ialah satu proses yang menempatkan input organisasi melalui perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan bagi menghasilkan output (barangan dan perkhidmatan) yang diingini oleh pelanggan supaya matlamat organisasi tercapai. Stoner (1984) dalam Management, menyatakan pengurusan sebagai satu proses untuk merancang, mengelola, mengarah dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan pengurusan sumber-sumber organisasi yang lain untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditentukan.
Melalui definisi-definisi pengurusan itu, tidak terdapat banyak perbezaannya dengan maksud pentadbiran. Cuma yang membezakan ialah, pengurusan lebih menekankan kepada input organisasi iaitu barangan dan perkhidmatan. Pengurusan merupakan satu cara untuk mencapai matlamat melalui pengendalian input yang terdiri daripada kakitangan, kewangan, bahan mentah dan teknologi. Input-input ini penting kerana diperlukan untuk mencapai matlamat. Terdapat beberapa faktor penting yang diperlukan bagi mencapai matlamat dalam pengurusan. Antaranya ialah perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan daya usaha kakitangan kearah perlaksanaan tugas yang cekap dan efektif.
Konsep sekolah ialah sebagai satu sistem yang bertujuan untuk mencapai
matlamat pendidikan tertentu. Konsep ini dikenali sebagai purposif. Konsep sekolah sebagai satu sistem yang purposif mengambil kira bagaimana ia menyebarkan khidmat pendidikannya kepada para pengguna. Selain itu, ia juga mengambil kira bagaimana untuk ia menyediakan peluang bagi ahli-ahlinya mencapai kepuasan melalui kerja-kerja yang mereka lakukan. Bagi memahami sistem sesebuah sekolah, yang juga dikenali sebagai organisasi sosial, adalah penting bagi setiap pendidik untuk mempunyai pengetahuan asas mengenai konsep dan fungsi pengurusan.
Memiliki pengetahuan adalah penting bagi seseorang guru besar atau pengetua untuk membimbingnya selain memainkan peranannya sebagai seorang pentadbiran dan pengurus sesebuah organisasi di sekolah. Oleh kerana guru-guru dan kakitagan merupakan am merupakan sumber utama dalam sistem pentadbiran sekolah, dan tingkah laku mereka mempengaruhi keberkesanan sekolah, maka satu corak pentadbiran yang tersusun dan teratur diperlukan untuk memudahkan pengetua membimbing mereka bagi mempertingkatkan mutu pengajaran-pengajaran.

5.0 Kepentingan pendidikan berpusat
Pendidikan berpusat adalah amat penting dalam organisasi pendidikan yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. Keseragaman sistem berpusat memberikan banyak kebaikan kepada tenaga-tenaga pengajar khususnya, para pelajar yang menerima sistem yang sama, dan masyarakat amnya. Setiap organisasi perlu dikelolakan dengan rapi, sempurna dan teratur.
Ini membolehkan kakitangannya dapat berhubung dan bertindak satu sama lain bagi mencapai matlamat pendidikan yang telah ditentukan selaras dengan falsafah pendidikan Negara.
Pemahaman konsep-konsep pentadbiran seperti satu ketua, keselarasan tujuan, keselarasan arahan, penyerahan autoriti dan tanggungjawab, pengkhususan, bidang kawalan, kestabilan dan fleksibiliti, keselamatan kerjaya dan polisi personel dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan sekolah. Konsep-konsep pentadbiran dan pengurusan ini sekaligus membawa kepada pemusatan sistem organisasi pendidikan di seluruh sekolah di Malaysia. Keseragaman ini membolehkan integrasi di kalangan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah rendah jenis kebangsaan serta teknik dan vokasional dapat bernaung di bawah satu pemerintahan yang adil dan menekankan permasalahan yang berlaku serta berusaha untuk membantu memperbaiki kekurangan di setiap sekolah berkenaan.
Seperti yang kita sedia maklum, Negara Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan bangsa. Justeru, banyak sekolah telah dibina bagi mengkhususkan penduduk yang berbangsa bukan melayu agar dapat menikmati kebebasan mempelajari bahasa sendiri iaitu, mereka yang berbangsa Cina dan India. Keistimewaan ini hanya boleh di lihat di Malaysia kerana memiliki sistem pendidikan yang amat berbeza dengan Negara luar. Hal ini disebabkan oleh faktor sejarah di mana kita sendiri ada mempalajarinya sewaktu di sekolah menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi (IPTA). Namun demikian, kelainan ini memberikan satu kata putus, di mana sistem psndidikan yang diadakan di Malaysia berbentuk sistem berpusat. Dengan kata lain, semua sekolah di negara ini termasuk sekolah jenis kebangsaan, hanya berpusat kepada satu sistem sahaja. Sebagai contoh, mata pelajaran yang di ajar mestilah seragam di seluruh sekolah kecuali kepada sekolah yang mempelajari bahasa tertentu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil. Sungguhpun demikian, mengikut kepada sistem pendidikan berpusat, semua sekolah adalah diwajibkan untuk mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia.
Sesebuah organisasi di sekolah yang mahu diubah haruslah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada pihak atasan yang kemudiannya membawa hal itu kepada pusat utama pendidikan di Malaysia. Dengan itu, sesebuah sekolah tidak boleh untuk menukar pentadbirannya kepada bentuk yang lain sekiranya tidak mendapat pengesahan dan persetujuan daripada jabatan pendidikan.
Terdapat beberapa kepentingan dan kebaikan terhadap sistem pemusatan pendidikan di Malaysia.
5.1 Satu Ketua
Sesebuah organisasi sekolah akan lebih berkesan pentadbiran dan pengurusannya
sekiranya memiliki satu ketua sahaja yang berfungsi untuk memberikan arahan. Satu ketua bermakna akan adanya satu pusat penyelarasan untuk kesemua aktiviti pentadbiran yang dijalankan. Seperti yang kita sedia lihat, di mana-mana sekolah, ramai ketua di peringkat unit, bahagian atau panitia. Namun demikian, salah seorang daripada mereka mesti menjadi agen penyelarasan dan selalunya ‘pengetua’ yang akan memainkan peranan ini. Sekiranya ianya tidak wujud, maka sistem pentadbiran dan pengurusan akan menjadi kucar-kacir. Semua ketua di setiap unit akan mahu menjadi ketua malah ada yang langsung tidak menjalankan tugas. Ini akan memberikan banyak masalah contohnya, sekolah tidak akan dapat mencapai matlamat kerana setiap unit akan membawa hal sendiri tanpa penyelarasan aktiviti. Oleh itu, konsep ‘satu ketua’ adalah amat penting untuk dijalankan dan diamalkan di sekolah kerana jumlah pekerja yang semakin ramai. Menurut Follet (1924), dalam bukunya, penyelarasan sememangnya penting untuk menjamin hubungan yang harmoni dan dapat menghasilkan organisasi yang berkesan. Konsep satu ketua akan menjamin keselarasan dan penyempurnaan matlamat.

5.2 Keselarasan Matlamat
Sewaktu mula-mula menjadi kakitangan di sesebuah organisasi, seseorang itu tentu tidak tahu secara menyeluruh mengenai dan tidak memahami matlamat organisasi itu dengan jelas. Oleh itu, peranan pengetua adalah sangat penting bagi menentukan matlamat sekolah dengan jelas agar tenaga pekerjanya mempunyai matlamat bersama tanpa adanya percanggahan. Tenaga pekerja amat diperlukan bagi mencapai matlamat sesebuah organisasi.
Amalan penyelarasan maklumat di sekolah adalah sangat penting bagi meningkatkan kualiti organisasi. Sekolah merupakan organisasi social yang berfungsi untuk mendidik, melatih dan mengawal murid-murid. Terdapat dua faktor yang telah dirumuskan dalam matlamat pendidikan di Malaysia. Pertama ialah, melahirkan tenaga rakyat jangka panjang dan pendek yang diperlukan Negara. Bagi matlamat yang kedua iaitu menghasilkan satu masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Matlamat pendidikan boleh difahami dengan lebih lanjut melalui falsafah pendidikan Negara. Falsafah ini dijadikan sebagai satu amalan dan matlamat para pendidik agar sentiasa bersatu dalam apa jua aktiviti.

5.3 Keselarasan Arahan
Pendidikan berpusat boleh diamalkan melalui penyelarasan arahan. Ini bermakna, setiap kakitangan mesti mengetahui siapa yang bertanggungjawab ke atasnya semasa menjalankan tugas. Penentuan tugas adalah penting. Sekiranya terdapat kakitangan yang gagal untuk memahami tugasnya, produktivitinya tidak akan dapat dijamin kerana kakitangan ini dianggap sebagai tidak bersemangat dan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
Sesungguhnya amat penting bagi pendidikan pusat untuk mengeluarkan arahan agar dapat diikuti oleh semua sekolah. Hal demikian membolehkan sistem organisasi teratur apabila terdapat pihak atasan yang lebih berkuasa dan berhak untuk menentukan sistem organisasi di sesebuah sekolah. Sekiranya perubahan berlaku kepada sesebuah sekolah, maka seluruh sekolah yang lain akan turtu diberi arahan untuk melakukan perubahan kearah mencapai matlamat pendidikan. Begitu juga halnya dengan tugas. Apabila seseorang kakitangan itu diberikan tugas, maka dia hendaklah tahu untuk melaksanakan tugasan tersebut dengan cekap dan berkesan. Oleh itu, dengan adanya struktur kuatkuasa dan tanggungjawab yang jelas, kelancaran atau kelicinan kerja akan diperoleh.

5.4 Penyerahan Autoriti dan Tanggungjawab
Penyerahan autoriti dan tanggungjawab juga penting dan perlu bagi sistem pendidikan berpusat yang dilaksanakan di Malaysia. Keberkesanan sesebuah sekolah sebagai satu organisasi akan lebih berjalan dengan licin sekiranya ada ketua yang menjadi wakil autoriti bagi kakitangan tersebut. Di sesebuah organisasi sekolah, pengetua memainkan peranan yang penting. Apabila seorang pengetua menyerahkan sesuatu tanggungjawab kepada seseorang guru, dia hendaklah juga menyerahkan autoriti yang diperlukan untuk menyiapkan tugas itu. Sesudah tugas itu diserahkan kepada guru berkenaan, penyelia akan tetap mempunyai kaitan dengan tugas itu, kerana pengetua masih bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan jika terdapat sebarang kelemahan atau kesilapan guru dalam melaksanakan tugas yang diberi. Konsep ini disebut sebagai akauntabiliti. Adalah wajib bagi semua ahli organisasi supaya memberikan laporan kepada ketuanya mengenai keseluruhan prestasi tugasnya, tanpa mengira tugas itu telah diserahkan kepada orang bawahan untuk menyempurnakannya atau tidak. Justeru, sangat penting dalam sebuah sekolah untuk adanya wakil dalam menyerahkan satu-satu tugas mahupun tanggungjawab tertentu.




5.5 Bidang Kawalan
Bidang ini membawa maksud bahawa setiap ketua mestilah mempunyai satu bidang kawalan yang terdiri daripada beberapa orang kakitangan. Kakitangan ini mestilah mampu mentadbirnya secara langsung. Jenis-jenis organisasi dalam bidang kawalan ini akan menentukan jumlah tenaga pekerja. Bidang kawalan ini sangat penting kerana terdapatnya keadaan yang semakin mencabar. Pengaruh-pengaruh faktor seperti masa, tenaga, pengetahuan dan kebolehan menjadi cabaran bagi sesetengah tenaga pengajar yang baru memulakan karier sebagai pendidik. Tugas pengetua di sekolah ialah untuk menyelia dan memerhati tugas sebilangan guru sahaja. Pengetua tidak perlu menyelia semua guru kerana yang selebihnya boleh diserahkan kepada penolong kanan atau ketua-ketua unit tertentu. Menurut L. Gulick (1937) dalam bukunya yang bertajuk Case Studies in School Administration, jumlah kakitangan di bawah bidang kawalan seorang ketua adalah dalam lingkungan tiga sehingga dua belas orang.


5.6 Kestabilan dan Fleksibiliti
Pendidikan berpusat mengamalkan konsep kestabilan dan fleksibiliti. Konsep ini dapat membantu untuk meningkatkan keberkesanan organisasi. Pembentukan dasar, peraturan dan polisi akan menyebabkan organisasi itu menggunakannya terlebih dahulu untuk beberapa waktu bagi melihat hasilnya. Organisasi yang kerap kali mengubah polisi dan programnya dianggap sebagai organisasi yang tidak stabil. Setiap program atau polisi yang digubal dan dirancang dengan baik hendaklah diberikan tempoh percubaan yang cukup. Dengan berbuat demikian, maka segala kelemahan akan dapat diperbaiki.

5.7 Keselamatan dan Kesejahteraan
Konsep ini amat perlu dalam setiap organisasi. Dengan adanya keselamatan dan kesejahteraan, maka adanya jaminan kerjaya untuk setiap kakitangan. Walaupun setiap pekerja mempunyai pelbagai keperluan tetapi keperluan untuk kerjaya yang terjamin adalah sejagat. Dengan adanya matlamat untuk mempunyai kerjaya yang terjamin, banyak persatuan tidak formal di tempat kerja akan ditubuhkan. Pertubuhan seperti ini boleh menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing mengenai kedudukan mereka dalam organisasi. Mereka boleh diwakili oleh seseorang yang akan dianggap sebagai ketua. Maka, segala masalah dapat di selesaikan dengan baik.

5.8 Dasar Personel
Dengan adanya sistem pendidikan berpusat, dasar personel yang diwujudkan amat penting bagi menentukan pengambilan dan perlantikan pekerja yang berkebolehan. Dasar personel juga bertujuan untuk melatih dan membimbing tenaga pengajar yang kurang berpengalaman, menyingkirkan yang tidak berminat,dan menyediakan ganjaran-ganjaran yang setimpal dengan daya usaha seorang guru. Konsep ini boleh menghasilkan prestasi guru yang bermutu dan berkelayakan, hasil kerja yang diharapkan akan diperoleh dan menjadi lebih berkesan dan cekap.
Bagi meningkatkan produktiviti pekerja yang kurang pengalaman ke tahap maksimum, latihan akan diberikan berdasarkan tahap kebolehan dan kelemahan mereka. Terdapat juga pekerja-pekerja yang malas dan tidak berkemampuan untuk menjalankan tugas yang diberi. Oleh itu, mereka akan dipecat dan akan wujud kumpulan pekerja yang terdiri daripada ahli-ahli yang mahu bekerjasam, taat setia dan ikhlas dalam menyempurnakan tugas. Pemantauan akan dijalankan secara mengejut bagi memastikan setiap guru melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Penilaian turut dilakukan untuk menilai keberkesanan sistem organisasi sekolah terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setiap guru wajib memiliki buku laporan sebagai bukti bahawa segala tugas dijalankan dengan terancang dan teratur.

5.9 Penilaian
Mengikut sistem pendidikan berpusat, penilaian yang dijalankan hendaklah diadakan bukan sahaja ke atas daya pengeluaran tetapi juga ke atas pergerakan organisasi itu sendiri. Sekiranya sesuatu aktiviti itu dijalankan tanpa penilaian, maka ia akan dianggap sebagai tidak berfungsi. Menurut Kimbrough dan Nunnery (1976) dalam buku mereka Educational Administration; An Introduction, maklum balas adalah satu alat kawalan yang amat penting dan diperlukan untuk membuat penyesuaian yang spontan. Sebagai contoh, ibu bapa dan masyarakat memberi maklum balas terhadap persekitaran sekolah. Dengan demikian, mereka dapat membantu sekolah itu untuk menjadi lebih berkesan. Maklum balas ini adalah alat kawalan yang menentukan prestasi sebenarnya berbanding dengan prestasi yang dijangkakan.
Konsep-konsep ini membantu organisasi mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pengurusan sekolah. Ianya diaplikasikan oleh semua sekolah yang mempunyai matlamat berlandaskan falsafah pendidikan Negara. Secara pandangan mata kasar, ia seolah-olah memaksa semua institusi untuk mengaplikasikannya, namun, ia bergantung kepada ketua organisasi tersebut. Melalui kaedah ini, ia amat senang dan mudah kerana perselisihan antara kakitangan atau organisasi akan dapat dikurangkan. Hal ini disebabkan oleh sistem pendidikan berpusat, di mana arahan diterima oleh pihak atasan dan sebagai kakitangan bawahan, kita hanya mengaplikasikannya. Sekiranya tidak ada arahan daripada pihak atasan, maka organisasi akan bertindak lebih untuk menjadi ketua kepada semua organisasi yang lain. Pendek kata, dengan adanya sistem pendidikan berpusat, pemberian atau ganjaran terhadap semua organisasi sekolah adalah sama, yang membezakan hanyalah tahap penerimaan dan tindak balas yang diberikan.
Seperti yang kita sedia maklum, struktur autoriti dalam sistem pendidikan kita sememangnya berdasarkan kepada peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu, yang menentukan siapa mengawal kita dan kita mengawal siapa. Dengan lebih jelas, sistem organisasi adalah seperti di bawah;

KEMENTERIAN PENDIDIKAN


PEJABAT PENDIDIKAN NEGERI


PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH


SEKOLAH/ PENGETUA


GURU-GURU
Rajah 1 Struktur Sistem Organisasi Pendidikan di Malaysia
Konsep keselarasan arahan hanyalah sebagai penerima arahan sahaja. Sebagai contoh, seseorang kakitangan yang menerima banyak arahan dan sumber akan menjadi keliru. Lantaran itu, dia akan menjadi tidak cekap dan tidak bertanggungjawab. Dalam pentadbiran sekolah, konsep bidang kawalan adalah penting dan wajar digunakan di setiap sekolah. Pentingnya mempuyai penolong kanan dan ketua-ketua unit atau bidang kerana bidang kawalan untuk pengetua menjadi kurang. Oleh itu, pengetua dapat menentukan jumlah guru-guru yang bertanggungjawab terus kepada ketua masing-masing. Sistem ini juga dikenali sebagai sistem organisasi berpusat.
Pendidikan Malaysia memiliki struktur autoriti yang berbentuk hierarki. Justeru, konsep bidang kawalan dan keselarasan arahan ini memang wujud. Ini disebabkan oleh aliran autoriti yang bermula dari pihak Kementerian Pendidikan. Justeru, aliran ini mengalir terus kepada guru-guru. Sekolah-sekolah di Malaysia ditubuhkan berdasarkan polisi, prosedur dan peraturan yang termaktub dalam Kementerian Pendidikan. Maka sebab itulah pemilihan kakitangan, konsep pekerja yang berkebolehan juga ditentukan. Sungguhpun demikian, setiap sekolah yang dikawal oleh satu peraturan, pengetua haruslah menggunakan fakta dan sebab terjadinya keputusan yang dibuat tanpa mengamalkan ciri-ciri birokrasi dengan sepenuhnya.
5.10 Budaya Sekolah
Budaya sekolah merupakan suatu sistem sosial yang kompleks. Pengrurus dan pentadbiran institusi pendidikan wajib menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada guru dan pelajar dalam bilik darjah sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada sistem sosial di sekolah. Guru bukan sahaja memerlukan suasana bilik darjah yang kondusif dan menarik bagi menyampaikan pengajaran berkesan tetapi juga memerlukan suasana dan persekitaran keseluruhan sekolah yang teratur dan terurus dengan baik. Dengan ini tersandarlah tanggungjawab kepada pengetua dan guru besar untuk membentuk budaya dan iklim sekolah yang baik. Dengan kata lain, budaya sekolah yang baik turut membantu dan menyokong keberkesanan pengajaran guru dalam bilik darjah. Iklim sekolah yang berkesan sering dikaitkan dengan kepatuhan pelajar terhadap peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Cerminan iklim sekolah yang baik itu ialah pelajarnya sentiasa menghargai masa, patuh kepada arahan guru dan sentiasa bersedia mengharumkan nama serta imej sekolah.

Antara budaya sekolah ialah:
1. Budaya Ilmu
Istilah budaya merujuk kepada cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir. Ilmu pula bermakna cara memperolehi dan mengendali maklumat dan pengalaman. Oleh yang demikian, budaya ilmu membawa erti cara memperoleh maklumat serta mengendalinya. Ini akan merangkumi aktiviti-aktiviti seperti membaca, berfikir, bermusyawarah dan refleksi.
I. Budaya Membaca
Budaya membaca merupakan amalan yang penting dalam hidup kita. Melalui amalan membaca, seseorang insan akan memperolehi pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti pengetahuan tentang agama, falsafah, sastera, sains, matematik, nilai, kepercayaan dan moral. Budaya membaca juga menggalakkan perkembangan mental. Hasil daripada itu, pelajar-pelajar berkenaan akan lebih berupaya melakukan pemikiran kritis dan analitis.
II. Budaya Berfikir
Budaya berfikir hendaklah dipupuk dikalangan pelajar. Ini bermakna, para pelajar tidak hanya menerima apa sahaja yang disampaikan oleh guru. Mereka hendaklah dilatih untuk menyoal tentang apa sahaja yang mereka kurang faham. Setelah dibina sikap ingin bertanya, baharulah dikatakan bahawa guru berkenaan telah berusaha kearah memupuk budaya berfikir. Berfikir merupakan aktiviti menggunakkan akal untuk menyelesaikan sesuatu. Para pelajar boleh dipupuk melakukan pemikiran konvergen, divergen, induktif, deduktif, kreatif, membina, kritis, vertical atau menegak, lateral atau mendatar.
III. Budaya Berkarya
Budaya berkarya merupakan sesuatu usaha untuk menyebarkan ilmu pengetahuan melalui hasil penulisan sama ada dalam bentuk buku, artikel, karangan, puisi, syair, pantun dan sebagainya. Segala hasil kerja itu akan membolehkan anggota masyarakat lain memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sikap baharu juga akan dapat dipupuk melalui hasil karya tersebut.
IV. Bermusyawarah
Istilah bermusyawarah membawa makna berunding. Perundingan yang diadakan dengan individu lain akan membolehkan seseorang memperoleh atau menyebar ilmu. Jika seseorang itu bermusyawarah dengan orang lain yang lebih berilmu, maka dia akan memperoleh ilmu yang baharu. Sebaliknya, jika seseorang yang lebih berilmu bermusyawarah dengan individu lain, dia pula akan menyebarkan ilmu.
V. Refleksi
Refleksi merupakan satu teknik membuat pertimbangan teliti tentang segala tindakan yang telah dijalankan oleh seseorang individu. Budaya refleksi amat berguna kerana ia membantu seseorang membuat analisis tentang tindakannya. Jika seseorang guru pelatih telah selesai mengajar pelajar-pelajar, dia akan memikirkan set induksi untuk menarik minat pelajar-pelajar, langkah-langkah perkembangan dan cara menutup pelajaran. Dia juga akan memikirkan sama ada alat bantuan mengajar yang telah digunakan itu berkesan atau tidak. Dia juga memikirkan sama ada objektif-objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai atau tidak. Refleksi seperti ini tentu akan membantu guru itu meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Budaya ilmu di sekolah dapat ditingkatkan melalui lima aspek, iaitu:
i. Meningkatkan semangat mahu belajar
ii. Merangsang para pelajar
iii. Meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
iv. Meningkatkan penguasan bahasa Inggeris
v. Meningkatkan keinginan untuk menyelidik

5.11 Etika Profesion Perguruan

Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat.
Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya. Di samping itu, mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998). Mereka bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional.
Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu sehingga ke hari ini kita masih lagi mendengar beritaberita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman, Etika Profesion Perguruan (EPP) harus dikaji semula (Najib, 1977). Pengamalan EPP di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan mengajar seperti berikut;
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang
bertanggungjawab dan berkebolehan....
.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini
kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.

6.0 KESIMPULAN

Di Negara Malaysia, terdapat banyak jenis sekolah seperti yang telah dinyatakan
pada awal topik pengenalan. Ianya termasuklah sekolah rendahk (SRK), Sekolah menengah kebangsaan (SMK), dan sekolah jenis kebangsaan Cina, India serta sekolah Teknik dan Vokasional. Kepelbagaian penduduk di Malaysia telah mewujudkan corak pentadbiran dan pengurusan yang berlainan di setiap jenis sekolah. Sebagai contoh, terdapat sekolah wawasan yang dibina dengan tujuan mengeratkan pertalian dari segi perkauman di Malaysia. Hal ini memberikan kesan yang positif. Sungguhpun corak pentadbiran dan pengurusan yang berlainan, kerajaan amat bijak menyelesaikan masalah yang tidak dapat dikawal seperti monopoli kuasa oleh sesetengah pihak. Dengan adanya Kementerian Pendidikan di Malaysia, sistem pentadbiran dan pengurusan telah diseragamkan. Sebagai contoh, baru-baru ini, pihak tersebut dengan sebulat suara melancarkan masa pengajaran dan pembelajaran tamat pada pukul tiga setiap hari. Dengan adanya arahan seperti ini, maka seluruh Jabatan Pendidikan di setiap daerah wajib melaksanakannya di semua sekolah. Justeru, sistem pemusatan pendidikan amatlah penting, terutamanya di Negara kita yang berbilang kaum. Selain daripada memudahkan sistem pentadbiran dan pengurusan Negara, ia juga dapat memulihara hubungan antara kaum dan dapat mengelakkan sebarang perebutan kuasa di kalangan pendidik.

No comments:

Post a Comment