Kampung Mengkabong, Tuaran sebuah perkampungan air yang suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan hasil tangkapan ikan kini mendapat pembelaan kerajaan dengan anggaran RM80,000,000.00 (RM80 juta). Jumlah yang cukup banyak untuk merubah struktur bentuk asal perkampungan air tersebut.
Program pembangunan yang telah dicanang-canangkan diseluruh daerah Tuaran. Kerajaan dalam agendanya akan menimbus dan menyusun semula dengan membina rumah di kawasan perkampungan Mengkabong, Tuaran.
Hasil pembelaan ini penduduk kampung Mengkabong, Tuaran dijangka yang dulu rumahnya ditenggelami air kini berasa cukup gembira dan bersyukur kerana bagi mereka selain daripada selamat daripada malapetaka air naik akan datang mereka akan mendapati bahawa keadaan rumah mereka pun sama sahaja dengan jiran-jiran yang lain. Bagi mereka itulah keadilan yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan sedang dilaksanakan kerajaan dengan sedikit persoalan dan bantahan.
Syabas penduduk Mengkabong, kerana telah menjadi penyokong yang setia dan merupakan kumpulan majoriti, walaupun ketika ini suara majoriti ini telah berkurangan setiap kali pilihanraya. Kini penduduk kampung sanggup berpindah sementara di Taman Sri Rugading, menumpang di rumah saudara dan terdapat juga di antara mereka yang membina rumah sementara di kawasan yang dipilih. Mereka terpaksa hidup di kawasan baru, situasi baru, keadaan baru untuk mendapatkan rumah baru.
Pada dasarnya, masalah utama yang dilihat oleh pihak kerajaan adalah air naik menenggelami rumah penduduk kampung dan mengatasi masalah keluarga yang tidak mampu milik rumah sendiri. Maka bertitik tolak daripada keadaan serta situasi ini tercetuslah usaha pembelaan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Hj. Hajiji Bin Hj. Noor, selaku ADUN Kawasan N.10 Sulaman dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, merialisasikan angka RM80 juta ini dengan kenyataan dapat mengatasi masalah penduduk dan harapan rakyat, terutama penduduk-penduduk kampung Mengkabong khasnya akan melihat perubahan ini dengan menghargai usaha-usaha kerajaan tanpa memikirkan kesan-kesan secara negatif.
Jika suatu ketika dulu, kampung Mengkabong, Tuaran juga diberi tumpuan dengan “Program Hijau” kini mereka benar-benar boleh menghijaukan kawasan rumah mereka dengan bercucuk tanam dengan mengorbankan suasana perkampungan air yang telah diwarisi mereka turun-temurun. Jika ini berlaku maka dengan sendirinya masyarakat bajau Mengkabong telah merubah corak kehidupan nenek-moyang mereka dengan beralih arah ke bidang lain. Kehidupan sebagai nelayan yang sedikit demi sedikit mereka tinggalkan untuk beralih kebidang yang dikatakan lebih boleh menjamin masa depan generasi akan datang.
Kini penduduk Mengkabong perlu sedar dan jangan leka, sedarlah bahawa nama “Mengkabong” adalah lambang perpaduan orang-orang Mengkabong, kerana hanya dengan gabungan nama-nama kampung yang berdekatan kewujudan kampung Mengkabong, Tuaran itu dapat diiktiraf dan dipertahankan . Kita jangan bangga dengan nama sedangkan kita gagal mempertahankan sebuah identiti bangsa. Kita berjuang demi bangsa dan Negara, tetapi jangan sampai kita mengadaikan bangsa sendiri.
PERSOALANNYA:
DEMI BANGSA
Demi bangsa
Tiada perjuangan, jika kita tidak melihat di mana kita lahir dan berada
Demi bangsa
Tiada perjuangan, jika kita hanya menang sendiri
Demi Bangsa
Tiada perjuangan, jika kita tiada halangan untuk diatasi
Demi bangsa
Tiada perjuangan, jika kita hanya menjunjung langit di mana saja kaki berpijak
Demi bangsa
Keranamu aku adalah aku, setia bersamamu
Demi bangsa ku…
Mazlan Norinah
15hb. September 2009 (Selasa)
Sumber:http://norinahmazlan.blogspot.com/2009/09/mengkabong-dalam-kenangan.html
No comments:
Post a Comment