Thursday, April 14, 2011

Pengurusan atau Pentadbiran

Pengurusan VS Pentadbiran Pendidikan.

1.0 PENGENALAN

Dalam institusi pendidikan, pentadbiran dan pengurusan merupakan bahagian yang besar dalam sesebuah organisasi dan tidak boleh di pisahkan. Kedua-dua bahagian ini sangat penting di dalam usaha untuk menegak dan mengukuhkan lagi sesebuah badan organisasi. Tanpa salah satu bahagian ini, maka sesebuah organisasi yang wujud tidak akan lengkap, bermasalah dan tidak bertahan lama. Organisasi seperti sekolah memerlukan pengurusan dan pentadbiran yang kuat agar mampu mencapai objektifnya yang tersendiri. Namun demikian, terdapat sesetengah orang yang kurang jelas akan maksud dan konsep sebenar mengenai pengurusan dan pentadbiran disebabkan oleh pemahaman secara kasar yang mana kedua-dua bahagian ini hampir mempunyai maksud yang sama. Dalam organisasi yang berorientasikan fungsi perkhidmatan, pengurusan merupakan sebahagian daripada pentadbiran tetapi bagi institusi swasta yang mementingkan keuntungan, pentadbiran merupakan sebahagian daripada pengurusan, kerana ia lebih kepada pencapaian matlamat organisasi melalui penggunaan sumber-sumber secara ekonomi.
Membuat keputusan merupakan satu aktiviti tertentu yang dilakukan oleh pihak pengurusan sedangkan pihak pentadbiran menjalankan tugas-tugas rutin yang tidak menumpukan kepada kepentingan membuat keputusan. Justeru itu, saya ingin mengongsikan definisi sebenar pengurusan dan pentadbiran dalam sistem pendidikan melalui pembacaan terhadap beberapa buku.


2.0 PERBEZAAN ANTARA KONSEP PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN

Menurut Newman (1963), dalam bukunya yang bertajuk Administrative Action, beliau mendefinisikan pentadbiran sebagai satu bimbingan, kepimpinan dan kawalan daya usaha kumpulan pekerja kearah pencapaian matlamat. Bagi Walker (1977), mendefinisikan pentadbiran sebagai satu proses untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti organisasi melalui pembentukan matlamat dan polisi dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapainya. Campbell (1983) pula, dalam bukunya Introduction to Educational Administration, mendefinisikan pntadbiran pendidikan sebagai pengurusan sesebuah institusi pendidikan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
Definisi-definisi di atas memberikan satu unsur penting iaitu ‘kakitangan’. ‘kakitangan’ merupakan orang yang ditadbir. Selain itu, terdapat juga unsur ‘pencapaian matlamat organisasi’. Sebagai seorang pendidik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan, saya telah memahami satu konsep mengenai pentadbiran yang mempunyai tanggungjawab untuk mempengaruhi tingkah laku kakitangan atau orang bawahan. Hal ini selaras dengan usaha sesebuah organisasi kearah pencapaian matlamat. Seperti yang dinyatakan oleh Newman dan Walker melalui definisi pentadbiran, didapati bahawa pihak atasan merupakan pembuat polisi dan menentukan matlamat organisasi. Seterusnya, mari kita lihat pula definisi- definisi yang diberikan oleh beberapa lagi penulis buku yang telah menjalankan kajian terhadap maksud pengurusan.
Menurut Denyer (1977), pengurusan ialah proses mengarah dan mengawal sesuatu institusi yang melibatkan perancangan dan pengarahan terhadap tugas-tugas kakitangan. Dalam masa yang sama, ia juga merupakan arahan dan kawalan kepada empat factor, iaitu manusia, kewangan, bahan mentah dan alatan. Bagi Thierauf (1977) dalam bukunya yang bertajuk Management Principles and Practices: A Contingency and Questionnaire Approach, pengurusan ialah satu proses yang menempatkan input organisasi melalui perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan bagi menghasilkan output (barangan dan perkhidmatan) yang diingini oleh pelanggan supaya matlamat organisasi tercapai. Stoner (1984) dalam Management, menyatakan pengurusan sebagai satu proses untuk merancang, mengelola, mengarah dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan pengurusan sumber-sumber organisasi yang lain untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditentukan.
Melalui definisi-definisi pengurusan itu, tidak terdapat banyak perbezaannya dengan maksud pentadbiran. Cuma yang membezakan ialah, pengurusan lebih menekankan kepada input organisasi iaitu barangan dan perkhidmatan. Pengurusan merupakan satu cara untuk mencapai matlamat melalui pengendalian input yang terdiri daripada kakitangan, kewangan, bahan mentah dan teknologi. Input-input ini penting kerana diperlukan untuk mencapai matlamat. Terdapat beberapa faktor penting yang diperlukan bagi mencapai matlamat dalam pengurusan. Antaranya ialah perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan daya usaha kakitangan kearah perlaksanaan tugas yang cekap dan efektif.
Konsep sekolah ialah sebagai satu sistem yang bertujuan untuk mencapai
matlamat pendidikan tertentu. Konsep ini dikenali sebagai purposif. Konsep sekolah sebagai satu sistem yang purposif mengambil kira bagaimana ia menyebarkan khidmat pendidikannya kepada para pengguna. Selain itu, ia juga mengambil kira bagaimana untuk ia menyediakan peluang bagi ahli-ahlinya mencapai kepuasan melalui kerja-kerja yang mereka lakukan. Bagi memahami sistem sesebuah sekolah, yang juga dikenali sebagai organisasi sosial, adalah penting bagi setiap pendidik untuk mempunyai pengetahuan asas mengenai konsep dan fungsi pengurusan.
Memiliki pengetahuan adalah penting bagi seseorang guru besar atau pengetua untuk membimbingnya selain memainkan peranannya sebagai seorang pentadbiran dan pengurus sesebuah organisasi di sekolah. Oleh kerana guru-guru dan kakitagan merupakan am merupakan sumber utama dalam sistem pentadbiran sekolah, dan tingkah laku mereka mempengaruhi keberkesanan sekolah, maka satu corak pentadbiran yang tersusun dan teratur diperlukan untuk memudahkan pengetua membimbing mereka bagi mempertingkatkan mutu pengajaran-pengajaran.












3.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN BERPUSAT

Pendidikan berpusat adalah amat penting dalam organisasi pendidikan yang berbilang kaum dan bangsa di Malaysia. Keseragaman sistem berpusat memberikan banyak kebaikan kepada tenaga-tenaga pengajar khususnya, para pelajar yang menerima sistem yang sama, dan masyarakat amnya. Setiap organisasi perlu dikelolakan dengan rapi, sempurna dan teratur. Ini membolehkan kakitangannya dapat berhubung dan bertindak satu sama lain bagi mencapai matlamat pendidikan yang telah ditentukan selaras dengan falsafah pendidikan Negara.
Pemahaman konsep-konsep pentadbiran seperti satu ketua, keselarasan tujuan, keselarasan arahan, penyerahan autoriti dan tanggungjawab, pengkhususan, bidang kawalan, kestabilan dan fleksibiliti, keselamatan kerjaya dan polisi personel dapat membantu mempertingkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan sekolah. Konsep-konsep pentadbiran dan pengurusan ini sekaligus membawa kepada pemusatan sistem organisasi pendidikan di seluruh sekolah di Malaysia. Keseragaman ini membolehkan integrasi di kalangan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah rendah jenis kebangsaan serta teknik dan vokasional dapat bernaung di bawah satu pemerintahan yang adil dan menekankan permasalahan yang berlaku serta berusaha untuk membantu memperbaiki kekurangan di setiap sekolah berkenaan.
Seperti yang kita sedia maklum, Negara Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum dan bangsa. Justeru, banyak sekolah telah dibina bagi mengkhususkan penduduk yang berbangsa bukan melayu agar dapat menikmati kebebasan mempelajari bahasa sendiri iaitu, mereka yang berbangsa Cina dan India. Keistimewaan ini hanya boleh di lihat di Malaysia kerana memiliki sistem pendidikan yang amat berbeza dengan Negara luar. Hal ini disebabkan oleh faktor sejarah di mana kita sendiri ada mempalajarinya sewaktu di sekolah menengah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi (IPTA). Namun demikian, kelainan ini memberikan satu kata putus, di mana sistem psndidikan yang diadakan di Malaysia berbentuk sistem berpusat. Dengan kata lain, semua sekolah di negara ini termasuk sekolah jenis kebangsaan, hanya berpusat kepada satu sistem sahaja. Sebagai contoh, mata pelajaran yang di ajar mestilah seragam di seluruh sekolah kecuali kepada sekolah yang mempelajari bahasa tertentu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil. Sungguhpun demikian, mengikut kepada sistem pendidikan berpusat, semua sekolah adalah diwajibkan untuk mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia.
Sesebuah organisasi di sekolah yang mahu diubah haruslah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada pihak atasan yang kemudiannya membawa hal itu kepada pusat utama pendidikan di Malaysia. Dengan itu, sesebuah sekolah tidak boleh untuk menukar pentadbirannya kepada bentuk yang lain sekiranya tidak mendapat pengesahan dan persetujuan daripada jabatan pendidikan.
Terdapat beberapa kepentingan dan kebaikan terhadap sistem pemusatan pendidikan di Malaysia.

3.1 Satu Ketua
Sesebuah organisasi sekolah akan lebih berkesan pentadbiran dan pengurusannya
sekiranya memiliki satu ketua sahaja yang berfungsi untuk memberikan arahan. Satu ketua bermakna akan adanya satu pusat penyelarasan untuk kesemua aktiviti pentadbiran yang dijalankan. Seperti yang kita sedia lihat, di mana-mana sekolah, ramai ketua di peringkat unit, bahagian atau panitia. Namun demikian, salah seorang daripada mereka mesti menjadi agen penyelarasan dan selalunya ‘pengetua’ yang akan memainkan peranan ini. Sekiranya ianya tidak wujud, maka sistem pentadbiran dan pengurusan akan menjadi kucar-kacir. Semua ketua di setiap unit akan mahu menjadi ketua malah ada yang langsung tidak menjalankan tugas. Ini akan memberikan banyak masalah contohnya, sekolah tidak akan dapat mencapai matlamat kerana setiap unit akan membawa hal sendiri tanpa penyelarasan aktiviti. Oleh itu, konsep ‘satu ketua’ adalah amat penting untuk dijalankan dan diamalkan di sekolah kerana jumlah pekerja yang semakin ramai. Menurut Follet (1924), dalam bukunya, penyelarasan sememangnya penting untuk menjamin hubungan yang harmoni dan dapat menghasilkan organisasi yang berkesan. Konsep satu ketua akan menjamin keselarasan dan penyempurnaan matlamat.

3.2 Keselarasan Matlamat
Sewaktu mula-mula menjadi kakitangan di sesebuah organisasi, seseorang itu tentu tidak tahu secara menyeluruh mengenai dan tidak memahami matlamat organisasi itu dengan jelas. Oleh itu, peranan pengetua adalah sangat penting bagi menentukan matlamat sekolah dengan jelas agar tenaga pekerjanya mempunyai matlamat bersama tanpa adanya percanggahan. Tenaga pekerja amat diperlukan bagi mencapai matlamat sesebuah organisasi.
Amalan penyelarasan maklumat di sekolah adalah sangat penting bagi meningkatkan kualiti organisasi. Sekolah merupakan organisasi social yang berfungsi untuk mendidik, melatih dan mengawal murid-murid. Terdapat dua faktor yang telah dirumuskan dalam matlamat pendidikan di Malaysia. Pertama ialah, melahirkan tenaga rakyat jangka panjang dan pendek yang diperlukan Negara. Bagi matlamat yang kedua iaitu menghasilkan satu masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Matlamat pendidikan boleh difahami dengan lebih lanjut melalui falsafah pendidikan Negara. Falsafah ini dijadikan sebagai satu amalan dan matlamat para pendidik agar sentiasa bersatu dalam apa jua aktiviti.

3.3 Keselarasan Arahan
Pendidikan berpusat boleh diamalkan melalui penyelarasan arahan. Ini bermakna, setiap kakitangan mesti mengetahui siapa yang bertanggungjawab ke atasnya semasa menjalankan tugas. Penentuan tugas adalah penting. Sekiranya terdapat kakitangan yang gagal untuk memahami tugasnya, produktivitinya tidak akan dapat dijamin kerana kakitangan ini dianggap sebagai tidak bersemangat dan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
Sesungguhnya amat penting bagi pendidikan pusat untuk mengeluarkan arahan agar dapat diikuti oleh semua sekolah. Hal demikian membolehkan sistem organisasi teratur apabila terdapat pihak atasan yang lebih berkuasa dan berhak untuk menentukan sistem organisasi di sesebuah sekolah. Sekiranya perubahan berlaku kepada sesebuah sekolah, maka seluruh sekolah yang lain akan turtu diberi arahan untuk melakukan perubahan kearah mencapai matlamat pendidikan. Begitu juga halnya dengan tugas. Apabila seseorang kakitangan itu diberikan tugas, maka dia hendaklah tahu untuk melaksanakan tugasan tersebut dengan cekap dan berkesan. Oleh itu, dengan adanya struktur kuatkuasa dan tanggungjawab yang jelas, kelancaran atau kelicinan kerja akan diperoleh.

3.4 Penyerahan Autoriti dan Tanggungjawab
Penyerahan autoriti dan tanggungjawab juga penting dan perlu bagi sistem pendidikan berpusat yang dilaksanakan di Malaysia. Keberkesanan sesebuah sekolah sebagai satu organisasi akan lebih berjalan dengan licin sekiranya ada ketua yang menjadi wakil autoriti bagi kakitangan tersebut. Di sesebuah organisasi sekolah, pengetua memainkan peranan yang penting. Apabila seorang pengetua menyerahkan sesuatu tanggungjawab kepada seseorang guru, dia hendaklah juga menyerahkan autoriti yang diperlukan untuk menyiapkan tugas itu. Sesudah tugas itu diserahkan kepada guru berkenaan, penyelia akan tetap mempunyai kaitan dengan tugas itu, kerana pengetua masih bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan jika terdapat sebarang kelemahan atau kesilapan guru dalam melaksanakan tugas yang diberi. Konsep ini disebut sebagai akauntabiliti. Adalah wajib bagi semua ahli organisasi supaya memberikan laporan kepada ketuanya mengenai keseluruhan prestasi tugasnya, tanpa mengira tugas itu telah diserahkan kepada orang bawahan untuk menyempurnakannya atau tidak. Justeru, sangat penting dalam sebuah sekolah untuk adanya wakil dalam menyerahkan satu-satu tugas mahupun tanggungjawab tertentu.




3.5 Bidang Kawalan
Bidang ini membawa maksud bahawa setiap ketua mestilah mempunyai satu bidang kawalan yang terdiri daripada beberapa orang kakitangan. Kakitangan ini mestilah mampu mentadbirnya secara langsung. Jenis-jenis organisasi dalam bidang kawalan ini akan menentukan jumlah tenaga pekerja. Bidang kawalan ini sangat penting kerana terdapatnya keadaan yang semakin mencabar. Pengaruh-pengaruh faktor seperti masa, tenaga, pengetahuan dan kebolehan menjadi cabaran bagi sesetengah tenaga pengajar yang baru memulakan karier sebagai pendidik. Tugas pengetua di sekolah ialah untuk menyelia dan memerhati tugas sebilangan guru sahaja. Pengetua tidak perlu menyelia semua guru kerana yang selebihnya boleh diserahkan kepada penolong kanan atau ketua-ketua unit tertentu. Menurut L. Gulick (1937) dalam bukunya yang bertajuk Case Studies in School Administration, jumlah kakitangan di bawah bidang kawalan seorang ketua adalah dalam lingkungan tiga sehingga dua belas orang.

3.6 Kestabilan dan Fleksibiliti
Pendidikan berpusat mengamalkan konsep kestabilan dan fleksibiliti. Konsep ini dapat membantu untuk meningkatkan keberkesanan organisasi. Pembentukan dasar, peraturan dan polisi akan menyebabkan organisasi itu menggunakannya terlebih dahulu untuk beberapa waktu bagi melihat hasilnya. Organisasi yang kerap kali mengubah polisi dan programnya dianggap sebagai organisasi yang tidak stabil. Setiap program atau polisi yang digubal dan dirancang dengan baik hendaklah diberikan tempoh percubaan yang cukup. Dengan berbuat demikian, maka segala kelemahan akan dapat diperbaiki.
3.7 Keselamatan dan Kesejahteraan
Konsep ini amat perlu dalam setiap organisasi. Dengan adanya keselamatan dan kesejahteraan, maka adanya jaminan kerjaya untuk setiap kakitangan. Walaupun setiap pekerja mempunyai pelbagai keperluan tetapi keperluan untuk kerjaya yang terjamin adalah sejagat. Dengan adanya matlamat untuk mempunyai kerjaya yang terjamin, banyak persatuan tidak formal di tempat kerja akan ditubuhkan. Pertubuhan seperti ini boleh menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing mengenai kedudukan mereka dalam organisasi. Mereka boleh diwakili oleh seseorang yang akan dianggap sebagai ketua. Maka, segala masalah dapat di selesaikan dengan baik.

3.8 Dasar Personel
Dengan adanya sistem pendidikan berpusat, dasar personel yang diwujudkan amat penting bagi menentukan pengambilan dan perlantikan pekerja yang berkebolehan. Dasar personel juga bertujuan untuk melatih dan membimbing tenaga pengajar yang kurang berpengalaman, menyingkirkan yang tidak berminat,dan menyediakan ganjaran-ganjaran yang setimpal dengan daya usaha seorang guru. Konsep ini boleh menghasilkan prestasi guru yang bermutu dan berkelayakan, hasil kerja yang diharapkan akan diperoleh dan menjadi lebih berkesan dan cekap.
Bagi meningkatkan produktiviti pekerja yang kurang pengalaman ke tahap maksimum, latihan akan diberikan berdasarkan tahap kebolehan dan kelemahan mereka. Terdapat juga pekerja-pekerja yang malas dan tidak berkemampuan untuk menjalankan tugas yang diberi. Oleh itu, mereka akan dipecat dan akan wujud kumpulan pekerja yang terdiri daripada ahli-ahli yang mahu bekerjasam, taat setia dan ikhlas dalam menyempurnakan tugas. Pemantauan akan dijalankan secara mengejut bagi memastikan setiap guru melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Penilaian turut dilakukan untuk menilai keberkesanan sistem organisasi sekolah terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setiap guru wajib memiliki buku laporan sebagai bukti bahawa segala tugas dijalankan dengan terancang dan teratur.

3.9 Penilaian
Mengikut sistem pendidikan berpusat, penilaian yang dijalankan hendaklah diadakan bukan sahaja ke atas daya pengeluaran tetapi juga ke atas pergerakan organisasi itu sendiri. Sekiranya sesuatu aktiviti itu dijalankan tanpa penilaian, maka ia akan dianggap sebagai tidak berfungsi. Menurut Kimbrough dan Nunnery (1976) dalam buku mereka Educational Administration; An Introduction, maklum balas adalah satu alat kawalan yang amat penting dan diperlukan untuk membuat penyesuaian yang spontan. Sebagai contoh, ibu bapa dan masyarakat memberi maklum balas terhadap persekitaran sekolah. Dengan demikian, mereka dapat membantu sekolah itu untuk menjadi lebih berkesan. Maklum balas ini adalah alat kawalan yang menentukan prestasi sebenarnya berbanding dengan prestasi yang dijangkakan.
Konsep-konsep ini membantu organisasi mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pengurusan sekolah. Ianya diaplikasikan oleh semua sekolah yang mempunyai matlamat berlandaskan falsafah pendidikan Negara. Secara pandangan mata kasar, ia seolah-olah memaksa semua institusi untuk mengaplikasikannya, namun, ia bergantung kepada ketua organisasi tersebut. Melalui kaedah ini, ia amat senang dan mudah kerana perselisihan antara kakitangan atau organisasi akan dapat dikurangkan. Hal ini disebabkan oleh sistem pendidikan berpusat, di mana arahan diterima oleh pihak atasan dan sebagai kakitangan bawahan, kita hanya mengaplikasikannya. Sekiranya tidak ada arahan daripada pihak atasan, maka organisasi akan bertindak lebih untuk menjadi ketua kepada semua organisasi yang lain. Pendek kata, dengan adanya sistem pendidikan berpusat, pemberian atau ganjaran terhadap semua organisasi sekolah adalah sama, yang membezakan hanyalah tahap penerimaan dan tindak balas yang diberikan.
Seperti yang kita sedia maklum, struktur autoriti dalam sistem pendidikan kita sememangnya berdasarkan kepada peraturan-peraturan dan undang-undang tertentu, yang menentukan siapa mengawal kita dan kita mengawal siapa. Dengan lebih jelas, sistem organisasi adalah seperti di bawah;

KEMENTERIAN PENDIDIKAN


PEJABAT PENDIDIKAN NEGERI


PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH


SEKOLAH/ PENGETUA


GURU-GURU
Rajah 1 Struktur Sistem Organisasi Pendidikan di Malaysia
Konsep keselarasan arahan hanyalah sebagai penerima arahan sahaja. Sebagai contoh, seseorang kakitangan yang menerima banyak arahan dan sumber akan menjadi keliru. Lantaran itu, dia akan menjadi tidak cekap dan tidak bertanggungjawab. Dalam pentadbiran sekolah, konsep bidang kawalan adalah penting dan wajar digunakan di setiap sekolah. Pentingnya mempuyai penolong kanan dan ketua-ketua unit atau bidang kerana bidang kawalan untuk pengetua menjadi kurang. Oleh itu, pengetua dapat menentukan jumlah guru-guru yang bertanggungjawab terus kepada ketua masing-masing. Sistem ini juga dikenali sebagai sistem organisasi berpusat.
Pendidikan Malaysia memiliki struktur autoriti yang berbentuk hierarki. Justeru, konsep bidang kawalan dan keselarasan arahan ini memang wujud. Ini disebabkan oleh aliran autoriti yang bermula dari pihak Kementerian Pendidikan. Justeru, aliran ini mengalir terus kepada guru-guru. Sekolah-sekolah di Malaysia ditubuhkan berdasarkan polisi, prosedur dan peraturan yang termaktub dalam Kementerian Pendidikan. Maka sebab itulah pemilihan kakitangan, konsep pekerja yang berkebolehan juga ditentukan. Sungguhpun demikian, setiap sekolah yang dikawal oleh satu peraturan, pengetua haruslah menggunakan fakta dan sebab terjadinya keputusan yang dibuat tanpa mengamalkan ciri-ciri birokrasi dengan sepenuhnya.






4.0 KESIMPULAN

Di Negara Malaysia, terdapat banyak jenis sekolah seperti yang telah dinyatakan
pada awal topik pengenalan. Ianya termasuklah sekolah rendahk (SRK), Sekolah menengah kebangsaan (SMK), dan sekolah jenis kebangsaan Cina, India serta sekolah Teknik dan Vokasional. Kepelbagaian penduduk di Malaysia telah mewujudkan corak pentadbiran dan pengurusan yang berlainan di setiap jenis sekolah. Sebagai contoh, terdapat sekolah wawasan yang dibina dengan tujuan mengeratkan pertalian dari segi perkauman di Malaysia. Hal ini memberikan kesan yang positif. Sungguhpun corak pentadbiran dan pengurusan yang berlainan, kerajaan amat bijak menyelesaikan masalah yang tidak dapat dikawal seperti monopoli kuasa oleh sesetengah pihak. Dengan adanya Kementerian Pendidikan di Malaysia, sistem pentadbiran dan pengurusan telah diseragamkan. Sebagai contoh, baru-baru ini, pihak tersebut dengan sebulat suara melancarkan masa pengajaran dan pembelajaran tamat pada pukul tiga setiap hari. Dengan adanya arahan seperti ini, maka seluruh Jabatan Pendidikan di setiap daerah wajib melaksanakannya di semua sekolah. Justeru, sistem pemusatan pendidikan amatlah penting, terutamanya di Negara kita yang berbilang kaum. Selain daripada memudahkan sistem pentadbiran dan pengurusan Negara, ia juga dapat memulihara hubungan antara kaum dan dapat mengelakkan sebarang perebutan kuasa di kalangan pendidik.

2 comments:

  1. Cikgu bagaimana sistem pentadbiran pendidikan berpusat bermula?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete