Monday, May 2, 2011

Perancangan Pengajaran

perancangan dalam pengajaran


Huraikan asas-asas perancangan dalam pengajaran yang berdasarkan persoalan:
What is planning?
Approaches to planning?
Additional Planning Considerations?
How teachers really plan?


Pendahuluan

Cita-cita pucuk pimpinan kita, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi untuk melahirkan modal insan kelas pertama adalah suatu cita-cita yang sungguh murni dan disambut baik oleh semua pihak. Namun begitu akhir-akhir ini masalah kegawatan tingkah laku di kalangan para pelajar sering mendepani organisasi pendidikan kita. Sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan dalam menjayakan wawasan negara atau golongan pertama yang ‘ menyentuh’ masa depan anak didik kita, peranan guru amat penting untuk memastikan nilai nasional dapat disempurnakan.Tugas guru di dalam bilik darjah bukanlah semata-mata menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar, tetapi dalam masa yang sama bertungkus-lumus berusaha untuk memastikan anak-anak didik dapat memperoleh ilmu dalam suasana pembelajaran yang harmoni demi mencapai kejayaan yang cemerlang. Kejayaan cemerlang yang akan dicapai para pelajar ini juga mestilah seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI) sejajar dengan kandungan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) iaitu; “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…” dan Misi Kementerian Pendidikan. Malaysia ialah ‘ Membangunkan system pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi Negara Malaysia,.

Untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat berjalan lancar tanpa gangguan, guru perlu merancang dalam pengajaran dengan baik. Hasil kajian mendapati punca kegawatan tingkah laku pelajar, prestasi rendah pelajar di sekolah-sekolah adalah berakar umbi daripada pengajaran tidak diselengara atau dirancang dengan baik di dalam bilik darjah. Di sini kemahiran dan kecekapan guru dalam perancangan menguruskan bilik darjah dikatakan dapat menghindari perkara yang tidak efektif dalam sesuatu proses P&P . Pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah sebenar-benarnya pemangkin kecemerlangan anak-anak didik sebagaimana yang diimpikan semua pihak untuk bersaing dalam pendidikan global masa kini setearusnya hasrat melahirkan modal insan kelas pertama akan tercapai (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan –PIPP 2006-2010).


What is planning?
Plan (Rancang) : Semua aktiviti pengajaran mestilah dirancang dengan rapi. Elakkan sekali-kali mentaliti ad-hoc, buat sesuatu secara tangkap muat, atau ikut sahaja kerana ramai orang lain buat begitu.Sukatan Pelajaran ( SP ) sesuatu mata pelajaran perlu dimahirkan oleh seseorang guru dan ianya tidak lengkap tanpa pengupasan Huraian Sukatan Pelajaran ( HSP ) yang mana segala kemahiran yang wajib dipelajari oleh seseorang pelajar dalam tempoh masa setahun perlu dihabiskan dan kemahiran dalam HSP ini mesti dipastikan dapat dikuasai oleh setiap pelajar.

Do (Buat) : Semua yang telah dirancang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Inilah aspek paling penting dan kritikal kerana pada peringkat inilah yang menentukan kejayaan setiap perancangan itu. Apa makna dan apa gunanya jika perancangan tinggal perancangan sahaja? Soal balik diri sendiri apakah perancangan yang kita buat telah semuanya dilaksanakan? Jujurlah kepada diri sendiri, dan jika belum, nah inilah puncanya mengapa kita begitu sukar mengatasi kelemahan dan kemerosotan.

Check (Semak) : Semakan amat penting kerana setiap perancangan dan pelaksanaan perlukan; penilaian bagi melihat keberkesanannya atau pun sebab-sebab mengapa ianya tidak mencapai objektif yang ditentukan. Banyak kerja guru-guru kita perlu disemak dengan teliti dan rapi seperti buku latihan murid diperiksa atau tidak, pembetulan dibuat atau tidak, diagnosis mata pelajaran dibuat atau tidak dan jika dibuat tindakan susulan dibuat atau tidak, keputusan mesyuarat guru atau mesyuarat panitia mata pelajaran dibuat atau tidak, pencerapan pengajaran guru dalam bilik darjah dibuat atau tidak; atau laporan-laporan berkala yang diminta oleh JPNP dan PPD dibuat atau tidak, dan dihantar mengikut masanya atau tidak? Satu cara berkesan memastikan sistem semakan yang praktikal ialah dengan mewujudkan satu Senarai Semak Komprehensif yang melibatkan semua perancangan aktiviti di sekolah.

Act (Bertindak) : Setelah semakan dibuat dan jawapannya diketahui sama ada ianya positif atau sebaliknya, tindakan yang amat penting seterusnya ialah mengambil tindakan. Cari puncanya, cari mana silapnya dan cari siapa culpritnya (afritnya). Adakah puncanya kerana sikap manusia atau sistem dan prosedur atau tidak jelas bidang tugas? Tindakan seterusnya memastikan tidak berulang lagi perkara-perkara tidak memuaskan ini dan personel yang terlibat mestilah disedarkan melalui nasihat, teguran, bimbingan dan kaunseling malah amaran dan tindakan selanjutnya sekali pun jika sudah sampai kepada tahap yang serius dan kritikal.
Perancangan pengajaran dalam matematik (Sampel )
Setiap pendidik matematik amat memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran kepada anak didiknya. Amat jarang kedapatan di kalangan guru-guru yang dapat mengajar secara berkesan, jelas, tanpa sebarang gangguan dengan hanya berbekalkan kebolehan semula jadi (D' Augustine, 1973 ). Pengajaran matematik yang berkesan perlu memenuhi beberapa langkah penting seperti berikut :
• Penelitian terhadap konsep-konsep asas yang terlibat dalam sesuatu topik
• Mengenalpasti serta menyenaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran secara eksplisit
• Mengenalpasti kemahiran prasyarat yang diperlukan bagi sesuatu topik dan skim matematik yang sedia ada dalam minda pelajar.
• Memilih kaedah dan alat bantu mengajar yang sesuai untuk mengembangkan sesuatu konsep
• Mempertimbang dan menyediakan aktiviti latihan untuk menguasai sesuatu kemahiran khususnya dalam penyelesaian masalah.
• Mempertimbangkan kaedah serta instrumen untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
• Melatih dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar.
• Menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti luar kelas.
Selepas kita mengetahui topik serta konsep-konsep yang berkaitan untuk di ajar, kita perlu menyenaraikan objektif tingkah laku yang bakal dipamirkan oleh setiap murid apabila mereka benar-benar memahami atau menguasai isi pelajaran yang telah disampaikan. Tingkah laku yang dipamirkan ini juga akan menunjukkan tahap kefahaman pelajar. Sebagai contoh, katakan kita ingin mengetahui sama ada pelajar memahami konsep segitiga. Kita boleh melibatkan beberapa objektif tingkahlaku yang boleh menjadi bukti bahawa pelajar telah memahami konsep segitiga, antaranya :
• Melukis segitiga : Pelajar sepatutnya dapat melukis sebuah segitiga di atas se keping kertas dengan menggunakan pensel dan pembaris.
• Memilih bentuk : Pelajar sepatutnya dapat memilih bentuk segitiga daripada set pelbagai bentuk yang dipamirkan kepada mereka.
• Menyatakan definisi : Pelajar dapat menyatakan definisi segitiga dengan tepat sama ada secara lisan atau bertulis.
Sesuatu objektif biasanya ditentukan bagi sesuatu tempoh pengajaran, sama ada untuk satu masa atau dua masa, bergantung kepada isi pelajaran dan peruntukan masa mengajar. Pemilihan objektif tidak hanya menentukan tahap kefahaman seseorang pelajar, malah ia juga akan menentukan kaedah dan alatan yang sesuai digunakan. Sebagai contoh, katakan objektif yang dipilih berbunyi : " murid dapat menambah dua nombor satu digit dengan satu digit ". Jika tajuk berkenaan baru mula diajar, guru perlu menyediakan aktiviti untuk membimbing murid memahami konsep ' pengumpulan ' atau ' penyatuan ' antara dua set benda. Pengajaran bermula dengan aktiviti konkrit di mana para pelajar akan terlibat secara aktif, memanupulasi bahan-bahan maujud dan berakhir dengan proses pengabstrakan. Setelah murid memahami konsep penambahan, mereka seterusnya akan dibimbing untuk menguasai fakta asas tambah. Aktiviti untuk penguasaan kemahiran tidak banyak melibatkan manipulasi bahan maujud berbanding dengan aktiviti semasa penguasaan konsep.
Setelah mengenalpasti objektif pengajaran dan pembelajaran, para guru perlu menyenaraikan pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Pengajaran sebaiknya bermula dengan mengingat semula pengetahuan sedia ada membuat pengukuhan jika perlu. Kemahiran dalam matematik bersifat heirarki dan berkesinambungan (Ngean, 1984). Kegagalan menguasai konsep dan kemahiran awal, akan menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran kemahiran berikutnya. Perancangan seterusnya ialah menentukan teknik atau kaedah yang paling sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan ( Shaharir, 1984).


Approaches to planning?
Fasa pertama - mengenalpasti keadaan ini bertujuan untuk membandingkan keadaan sebenar dengan keadaan yang dikehendaki, menentukan keadaan-keadaan yang berpotensi menimbulkan masalah dan menentukan langkah-langkah pencegahan segera yang diperlukan.

Fasa Kedua - mengenalpasti kelakuan murid yang diingini guru pula adalah bertujuan menentukan suasana ideal yang dikehendaki guru yang membolehkan proses penyampaian pengajaran dapat dijalankan dengan berkesan . Perlu ditegaskan di sini bahawa guru yang mempunyai pemahaman yang jelas mengenai objektif pengurusannya, wawasan yang jelas mengenai kelakuan muridnya, akan lebih berjaya dan berkesan daripada guru yang tidak memilikinya.

Fasa Ketiga - Memilih dan menggunakan strategi pengajaran Guru hendaklah berkeupayaan, mahir dan cekap memahami dan memilih serta mengaplikasikan strategi pengajaran yang paling sesuai, yang berpotensi tinggi untuk mencapai matlamat yang diingini.

Fasa Keempat- Mengenalpasti keberkesanan pengajaran iaitu guru perlu membuat penilaian terhadap keberkesanan strategi pengajaran guru yang digunakan dan menjadikan penilaian ini sebagai panduan kepada pemilihan strategi pengajaran yang lebih berkesan pada masa akan datang. Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi



Additional Planning Considerations?
PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.
PENYERAPAN
Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah dan lain-lain.
PENGAYAAN DAN PEMULIHAN
Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan. Program pemulihan pula disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran. Ramai yang beranggapan bahawa aktiviti pengayaan untuk kumpulan pelajar yang cerdas manakala aktiviti pemulihan untuk kumpulan pelajar yang lemah. Sedangkan kedua-dua jenis aktiviti tersebut adalah sesuai dan boleh dirancang untuk kedua-dua jenis kumpulan pelajar, sama ada yang cerdas atau lemah (D'Augustine, 1973; Nik Azis, 1996)). Aktiviti pengayaan dan pemulihan merupakan kompenon yang penting dalam kurikulum pendidikan matematik KBSR dan KBSM (PPK, 1989). Aktiviti pemulihan merupakan aktiviti pengajaran yang berusaha menolong murid-murid untuk mengatasi masalah pembelajaran. Manakala aktiviti pengayaan ialah sejenis aktiviti tambahan yang lebih kompleks tetapi menarik dan mencabar (PPK, 1982). Aktiviti pengayaan juga sering digunakan untuk mengesan pelajar pintar di samping dapat mengasah bakat dan kreativiti. Kedua-dua aktiviti tersebut perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teliti supaya ianya tidak membeban dan membazirkan masa pelajar. Aktiviti-aktiviti tersebut haruslah memenuhi kriteria-kriteria yang tertentu.
Aktiviti pengayaan mestilah dapat:
• Melatih pelajar meningkatkan kebolehan dalam penyelesaian masalah
• Menggalakkan pelajar memahami sifat dan skop matematik yang luas lagi menyeluruh
• Mengembangkan daya kreativiti pelajar
• Menggalakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan seharian.
Aktiviti pemulihan pula adalah perlu dilakukan apabila pelajar :
• Tidak menghadiri kelas beberapa waktu / hari
• Tidak dapat memberi tumpuan kepada isi pelajaran yang sedang diajar atau yang sebelumnya
• Sering melakukan kesilapan ( khususnya dalam proses mengira )
• Kurang menguasai konsep dan kemahiran asas yang diperlukan bagi sesuatu topik / konsep
• Mempunyai masalah tidak tahu membaca atau kemahiran bahasa yang lain.
• Menghadapi masalah lain yang agak serius seperti masalah peribadi, masalah mental (IQ yang rendah), masalah fizikal dan masalah gangguan emosi (psikologi).
Walau bagaimanapun masalah yang kronik dan kritikal seperti terencat akal, hilang upaya penglihatan dan pendengaran perlu kepada kelas pemulihan khas.


Pengurusan bilik darjah
Sifat seorang pengurus yang mahir dan berkesan adalah penting bagi seseorang pendidik. Pengajaran yang berkesan amat bergantung kepada pengurusan bilik darjah yang cekap dan terpimpin. Pengurusan bilik darjah yang berkesan bergantung kepada beberapa faktor :
• Teknik kawalan kelas
• Penjagaan dan penyusunan rekod
• Komunikasi yang baik antara guru dan ibubapa
• Etika dan perhubungan yang profesional
• Aktiviti kumpulan yang berkesan
• Situasi pembelajaran dalam bilik darjah
• Masalah khusus berhubung dengan kemanusiaan
Bilik darjah yang sempurna akan mementingkan demokrasi dan disiplin sebagai amalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (BPG, 1998). Amalan ini berlaku menerusi beberapa kemahiran yang perlu dikuasai oleh para guru sebagai pengurus bilik darjah yang baik:
Pengurusan pengajaran
• Bahasa pengajaran
• Perancangan strategi
• Pengendalian aktiviti
• Penggunaan teknologi
Membina iklim pembelajaran yang kondusif
• Persekitaran bilik darjah
• Suasana interaktif
Orientasi pelajar
• Terhadap persekitaran
• Terhadap keperluan sekolah dan bilik darjah
• Terhadap kurikulum

Kemahiran IT
Bidang pendidikan sentiasa berkembang pesat dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi. Teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa cabaran kepada kita, khasnya para guru. Perubahan mendadak ini banyak merubah cara gaya proses P&P dalam dunia pendidikan, umpamanya muncul pembelajaran ‘online’ Apa-apa pun cara gaya dalam proses P&P di dalam bilik darjah, samada daripada corak pengajaran ‘chalk and talk’ hingga kepada corak pembelajaran ‘online’ semuanya memerlukan komitmen dan kemahiran yang tinggi daripada guru. Pendidik hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap kecanggihan teknologi ini. Sebagai pemangkin pendidikan cemerlang dan berkualiti, guru-guru hendak atau tidak, perlu menyiap dan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran IT kerana computer telah dijadikan sebagai kurikulum di sekolah.Penubuhan sekolah bestari merupakasn satu bentuk kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu menguasai teknologi maklumat. Penubuhan sekolah bestari ini merupakan salah satu projek ‘Flagship Applications’ dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu pusat penyiaran antarabangsa dan serantau.Selain daripada penubuhan sekolah bestari, projek SchoolNet juga satu proses pembestarian sekolah . Melalui projek SchoolNet, sekolah-sekolah yang terlibat telah dilengkapi dengan internet berteknologi tinggi dan jalur lebar samada menggunakan teknologi ADSL, VSAT atau pun internet wireless.


How teachers really plan?

Seorang guru yang benar-benar merancang akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik di mana ia dapat mengurus masa bagi setiap langkah sama ada set induksi yang berkesan, isi pelajaran yang menarik, penutup yang meninggalkan kesan kepada pelajar, penggunaan bahan bantu belajar, bahan bantu mengajar dan alat bantu mengajar dengan semaksimanya dan ianya berkaitan dengan isi pelajaran yang di sampaikan serta pengajaran yang berpusatkan pelajar yang menarik serta tidak membosankan.


Penutup
Sebagai kesimpulannnya seseorang guru perlu merancang pengajarannya dengan baik agar pelajar yang akan dikeluarkan menjadi seorang yang berguna kepada keluarga, masyarakatnya, bangsa dan nusa. Sesebuah sekolah bolehlah diibaratkan sebuah kilang pengeluaran, yang mengeluarkan produk yang mampu bersaing dengan produk-produk terbaik dipasaran iani murid, jatuh bangunnya produk yang dihasilkan bergantung penuh kepada pengurusan yang membuat perancangan penuh sebelum lagi produk tersebut dikeluarkan lagi. Seorang guru seharusnya mahir membuat perancangan melalui pelbagai pendekatan dan strategi yang digarap bersama set induksi, isi-isi pelajaran, penutup serta bahan bantu belajar, bahan bantu mengajar dan alat bantu mengajar. Perkara lain yang perlu diuli bersama dengannya model-model pengajaran seperti model pemprosesan maklumat, model system behavioral, model sosial dan model personel. Perkara lain yang mempunyai nilai tambah yang baik perlu dimasukkan seperti pengabunganjalinan kemahiran, penyerapan ilmu mata pelajaran lain, pengayaan pemulihan, pengurusan kelas dan kemahiran it berkehendakkan pengajaran yang sedang dinilaitambah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ketika ini. Sebenarnya jatuh bangunnya hasil pembelajaran seorang guru berkait rapat ketepatan beliau membuat perancangan yang jitu berpandukan kepada pengalaman sedia ada pelajar beliau yang perlu diteliti semasa membuat perancangan. Faktor budaya dalam konteks ini sangat penting. Guru-guru dapat mambangun dalam persekitaran yang dirasakan selamat dan ada cabaran, parancangan pengajaran tidak berkesan jika sokongan dan bimbingan adalah mambebankan. Tahap prestasi pelajar-pelajar penting bagi kejayaan sekolah oleh itu ianya perlu dikekalkan apabila sekolah mula maju ke hadapan daan ianya sebagai satu isyarat sesebuah sekolah mempraktikkan budaya perancangan dalam system pengajaran dan pengajarannya.

No comments:

Post a Comment