Monday, October 8, 2012

WANITA BAJAU TONGGAK KELUARGA NELAYAN ARTISANAL KAMPUNG MENGKABONG, TUARAN, SABAH

Abstract

Fishermen comprise mainly men engaged in fishing activities. Women are however
involved mainly in grading tasks, packaging and processing of fish. This article
attempts to show that the female Bajau in Kampung Mengkabong, Tuaran, Sabah
is also engaged in fishing activities using traditional methods. They sell fish and
other fishery products. More interestingly, they play a key role in the management
and administration of family finances. This paper explains how they
simultaneously perform fishing-related activities, marketing, managing family
finances and subsequently saving. The Bajau community is commonly associated
with fishing activities, and, consequently, living below the hardcore poverty line
as portrayed by several studies. However, the findings of this study suggest
otherwise. This study is based on a survey conducted on fifty Bajau women who
are involved in various fishery activities, from production to marketing, in Tuaran,
Sabah.
Keywords: Gender, workforce, Artisanal fishermen, poverty, and Sabah







Pengenalan

Setiap pagi berhampiran Pasar Ikan Tuaran boleh didapati pemandangan kaum
wanita sedang menjual ikan dan hasil perikanan di bawah payung di pinggir jalan
atau di kaki lima pasar. Mereka adalah wanita Bajau dari Kampung Mengkabong
yang terlibat dalam aktiviti menangkap ikan dan memasarkan sendiri hasil
perikanan keluarga mereka. Petempatan Kampung Mengkabong terletak
berhampiran Sungai Kabong yang terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu
Kampung Tembiluk, Kampung Jembulang, Kampung Buansa, Kampung
Mempelam, Kampung Pensurun, Kampung Gerinsing dan Kampung Soang
Krumuan. Jumlah penduduk bagi Kampung Mengkabong adalah seramai 2,499
orang di mana 97% daripadanya merupakan suku kaum Bajau. Wanita-wanita
Bajau yang dinyatakan di atas, 65% daripada mereka berumur di antara 30 hingga
50 tahun, sementara 20% berumur di antara 50 hingga 65 tahun. Hampir
keseluruhan mereka (95%) merupakan isteri nelayan dan 5% adalah janda. Wanita
ini mempunyai bilangan tanggungan yang sederhana ramai, iaitu 60% mempunyai
Jati, Vol. 13, December 2008
tanggungan di antara tiga hingga enam orang dan 15% mempunyai tanggungan
di antara tujuh hingga lapan orang. Wanita Bajau ini 40% tidak pernah bersekolah,
masing-masing 20% menamatkan persekolahan di peringkat sekolah rendah,
peringkat Penilaian Menengah Rendah dan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Mereka menjalankan kegiatan menangkap ikan secara tradisional, di muara
sungai berhampiran kampung mereka. Kegiatan tersebut dijalankan, kerana
mereka tidak mempunyai peluang untuk melakukan pekerjaan lain disebabkan
tiada kemahiran dan taraf pelajaran yang rendah, membantu suami dan sebagai
meneruskan pekerjaan tradisi keluarga. Mereka menangkap ikan dengan
menggunakan peralatan tradisional seperti jala, jaring, tajur, bintur dan bubu.
Kegiatan menangkap ikan dijalankan pulang hari, dan jumlah hari ke laut dalam
sebulan di antara 21 hingga 28 hari. Mereka tinggal di perkampungan atas air yang
lokasinya lebih kurang lima kilometer sahaja dari Pekan Tuaran.


Aktiviti Harian Wanita Bajau

Wanita Bajau bangun seawal 5.00 pagi. Setelah bersolat Subuh mereka menyiapkan
sarapan pagi untuk suami yang akan pulang dari laut dan untuk anak-anak yang
akan ke sekolah. Sarapan pagi biasanya terdiri daripada air teh atau air kopi tanpa
susu, dan dilengkapi dengan nasi bersama lauk semalam yang diperangat.
Hidangan tersebut diletakkan di atas meja dan kemudian ditutup dengan tudung
salji. Bagi yang tidak mempunyai meja makan, makanan tersebut dibiarkan sahaja
di atas dapur. Suami akan makan sarapan setelah pulang dari laut, dan anak-anak
pula sebelum pergi ke sekolah. Sarapan pagi dengan nasi ini amat penting kerana
biasanya anak-anak tidak membawa bekal makanan dan hanya diberikan duit
belanja sekolah.Kira-kira jam 6.00 pagi suami wanita Bajau akan pulang dari laut, biasanya dengan membawa hasil tangkapan. Banyak atau sedikit tidak menentu. Hasil
tangkapan tersebut akan dimasukkan ke dalam tong atau pun ke dalam baldi besar
yang kemudiannya ditutup bagi menjaga kesegaran dan mengelakkan dari
dilarikan oleh kucing. Wanita Bajau akan turun ke perahu bersama perkakas
menangkap ikan mereka, sama ada jala atau jaring kira-kira jam 6.15 pagi dan terus
berkayuh menuju ke muara sungai. Mereka pergi bersendirian atau ditemani oleh
anak perempuan mereka. Di sungai akan didapati wanita-wanita Bajau sekampung
melakukan kerja yang sama.

Selepas setengah jam berdayung, mereka akan sampai ke kawasan operasi
menangkap ikan. Mereka akan terus menjala atau menjaring, yang biasanya
dilakukan di kawasan-kawasan berhampiran tebing sungai atau tepi pantai bakau.
Dalam pada itu ada juga nelayan wanita Bajau yang menggunakan peralatan bubu
dan tajur untuk menangkap ikan dan menggunakan bintur untuk menangkap
ketam. Bubu, tajur dan bintur telah ditenggelamkan pada hari sebelumnya.
Kedatangan mereka pada pagi itu untuk mengutip hasil tangkapan, membubuh
umpan baru dan menenggelamkan semula bubu, tajur dan bintur mereka. Operasi
menangkap ikan tersebut dijalankan selama satu hingga dua jam. Kemudian
mereka akan segera pulang ke rumah masing-masing. Hasil tangkapan biasanya
terdiri daripada udang, ketam dan pelbagai jenis ikan muara sungai.
Sesampai di rumah mereka akan mendaratkan hasil tangkapan dan
mencampurkannya dengan hasil tangkapan yang diperoleh oleh suami mereka
malam tadi. Sebahagian daripada hasil tangkapan akan diasingkan untuk dijadikan
lauk pada hari itu. Sekiranya hasil tangkapan yang diperoleh sedikit, tetapi
melebihi daripada keperluan lauk, wanita Bajau akan menyerahkan kepada rakanrakan
yang mendapat hasil yang banyak yang akan memasarkan hasil tangkapan
mereka ke Pekan Tuaran. Hasil tangkapan tersebut akan diserahkan tanpa di gred
atau ditimbang terlebih dahulu. Mereka menyerahkan bulat-bulat kepada rakan
mereka untuk memasarkannya. Kepercayaan dan persahabatan lebih penting
daripada wang ringgit. Dalam pada itu, ada juga di antara mereka yang meminta
saudara-mara untuk memasarkan hasil tangkapan yang sedikit.
Semasa mendapat hasil tangkapan yang memuaskan, wanita Bajau setelah
sampai di rumah akan membersihkan badan dan bersarapan kemudian bergegas
untuk pergi memasarkan hasil tangkapan ke Tuaran. Mereka akan membawa hasil
tangkapan dalam satu atau dua baldi plastik besar, beg plastik yang akan
digunakan bagi ikan yang telah dijual kepada pengguna, tikar getah atau plastik
berukuran 3’ X 4’ untuk memperagakan ikan, bangku plastik kecil untuk duduk
semasa menjual ikan, baldi kecil untuk mengisi air bagi menyiram ikan dan udang
yang diperagakan, dan juga untuk digunakan membasuh jari pembeli. Hasil
tangkapan dan barang-barang tersebut dibawa dengan menaiki “kereta sapu”1 atau
van milik orang Bajau setempat. Masa perjalanan sekitar lima hingga sepuluh
minit, kerana jarak tempat tinggal wanita Bajau di Kampung Mengkabong ke Pekan
Tuaran sekitar lima kilometer.

Sesampai di Pekan Tuaran hasil tangkapan dan barang-barang keperluan
jualan akan diturunkan di tapak jualan. Tapak jualan terletak di bawah pokok di
pinggir jalan berhampiran dengan Pasar Ikan Pekan Tuaran. Dengan kata lain
mereka berniaga di luar pasar, selain daripada pinggir jalan ada sebilangan
daripada mereka yang berjaja di kaki lima pasar tersebut. Mereka menjalankan
perniagaan tanpa memiliki lesen perniagaan. Kemudian mereka akan pergi ke
kedai runcit tempat mereka selalu berbelanja untuk mengambil payung besar yang
ditumpangkan di kedai tersebut. Payung besar di pasang, tikar getah atau plastik
di bentang dan kemudian sedikit demi sedikit hasil tangkapan dikeluarkan
daripada baldi besar. Hasil tangkapan digredkan mengikut jenis udang, ketam,
ikan dan juga mengikut saiz. Setelah digredkan hasil tangkapan itu ditompok-tompokkan di atas tikar getah atau plastik yang telah dibentangkan. Wanita Bajau
tidak menggunakan timbang, kerana pertama mereka menganggap harga sebuah
timbang sangat mahal, kedua sukar untuk membawa pergi dan pulang dan dari
masa ke semasa perlu dipantau ketepatan bacaan timbang. Bagaimana pun yang
lebih meyakinkan ialah mereka tidak tahu menjalankan urus niaga dengan
menggunakan timbang. Mereka agak sukar untuk menentukan harga sekiranya
bacaan timbang tidak pada bacaan yang tepat pada kilonya. Mereka mungkin
mengetahui harga satu kilo, tetapi akan memakan masa yang lama atau langsung
tidak tahu sekiranya berat timbangan tidak sampai satu kilo, seperti 850 gram.



Pernyataan di atas hanya berlaku kepada wanita-wanita Bajau yang telah
lanjut umur. Bagaimana pun bagi wanita Bajau yang berumur 30 hingga 50 tahun,
mereka menggunakan timbang dan mesin kira. Walau pun timbang digunakan,
mereka tetap menjual ikan dan hasil perikanan dengan cara tompok. Apa yang
dilakukan ialah mereka menimbang ikan atau udang terlebih dahulu, kemudian
meletakkannya dalam tompok-tompok. Satu tompok beratnya satu kilo. Peniaga
ini bukan sahaja menimbang ikan dan udang jualannya, mereka juga turut
membantu menimbang ikan dan udang jiran-jiran di sebelah mereka. Dengan kata
lain sebuah timbang akan digunakan secara berkongsi.
Hasil tangkapan seperti udang dijual dengan harga RM8.00 hingga RM10.00
satu tompok. Sementara ketam dijual mengikut ikatan, di mana bilangan ketam
pada satu ikatan telah ditentukan. Harga satu ikat juga di antara RM8.00 hingga
RM10.00. Sementara itu ikan-ikan bersaiz kecil dijual dalam bentuk tompok,
sementara ikan bersaiz besar dijual dalam kiraan ekor. Tompok-tompok udang
dan ikan dari masa ke semasa disiram atau direnjis dengan air supaya kelihatan
segar. Selain udang, ketam dan ikan ada di antara wanita Bajau yang menjual
rumpai laut, siput dan kima. Rumpai laut mereka peroleh dari Semporna dengan
cara memesan daripada pengkultur-pengkultur rumpai laut, juga dari suku kaum
Bajau di Daerah Semporna pada hari sebelumnya. Rumpai laut tersebut mereka
beli dalam jumlah beberapa guni dan dikirimkan melalui bas ekspres yang berulang
alik di antara Semporna dan Kota Kinabalu. Dari Kota Kinabalu ke Pekan Tuaran
rumpai laut di bawa dengan van, teksi atau ‘kereta sapu’.



Perniagaan wanita Bajau biasanya bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir
pada jam 12.30 tengah hari. Sepanjang tempoh tersebut, wanita Bajau akan duduk
di atas bangku kecil di hadapan jualan ikan mereka. Bagi yang berniaga di kaki
lima pasar, mereka akan duduk di atas lantai simen kaki lima pasar tersebut. Harga
ikan pada awal pagi diletakkan agak tinggi sedikit, kerana pada masa itu ikan
masih segar dan pembeli pun masih ramai. Pembeli gemar membeli ikan daripada
wanita Bajau kerana harganya lebih rendah daripada ikan yang dijual di dalam
pasar. Selain daripada itu pembeli masih boleh tawar menawar dengan peniaga
tersebut. Biasanya permintaan pembeli dilayan asalkan mereka menawar tidak
melebihi 20% daripada harga jualan asal. Apabila matahari sudah meningkat tinggi
dan pembeli sudah berkurangan, harga ikan diturunkan sedikit. Umpamanya,
harga waktu pagi RM10.00 setompok diturunkan kepada RM8.00 setompok.
Pembeli di waktu tengah hari yang menawar, selalunya harga setompok ikan tidak
diturunkan tetapi wanita Bajau akan menurunkan harga jika membeli dua tompok.
Misalnya harga setompok ikan RM8.00 jika dibeli dua tompok RM14.00 dan tiga
tompok RM18.00.

Walaupun ikan dan udang telah ditompok-tompokan, pembeli masih
dibenarkan memilih udang atau ikan dari tompok yang berlainan. Ini menjadi daya
tarik pembeli untuk membeli dengan wanita Bajau, selain daripada harga yang
murah mereka boleh pula memilih udang atau ikan yang hendak dibeli. Memilih
udang atau ikan tidak boleh dilakukan pada peniaga-peniaga ikan di dalam pasar,
kerana mereka menjual ikan dan udang mengikut gred. Lain gred lain harganya.
Wanita Bajau akan menggantikan ikan atau udang yang dipilih daripada tompok
yang telah disediakan dengan udang dan ikan yang baru. Bagi dua atau tiga
tompok yang terakhir, oleh sebab wanita Bajau sudah hendak pulang mereka
menjual barangan jualan dengan harga yang murah iaitu separuh daripada harga
asal.

Wanita Bajau yang berniaga di luar pasar iaitu di pinggir jalan dan kaki lima
pasar sekitar 40 hingga 55 orang. Mereka berniaga secara bersendirian atau dibantu
oleh anak-anak perempuan mereka secara bergilir. Walaupun mereka ramai,
namun begitu suasana urus niaga tidak riuh rendah seperti di dalam pasar. Ini
disebabkan wanita-wanita ini tidak melaung-laungkan jenis jualan mereka dan
tidak juga melakukan promosi yang boleh mempengaruhi pembeli. Mereka hanya
menyapa pembeli apabila pembeli sudah berdiri di hadapan tikar mereka, atau
ketika pembeli lalu di hadapan mereka dengan sapaan yang mudah, agak perlahan
dan sambil tersenyum. Umpamanya, mereka akan menyapa dengan menyatakan
“beli ikan bos”, “udang bos, murah” atau pun “masih baru, peres (fresh) bos”.
Sekiranya pembeli berlalu dan pergi ke penjual di sebelah, mereka membiarkan
sahaja dan tidak cuba merayu atau meraih simpati pembeli. Biasanya, wanita Bajau
ini mempunyai pelanggan yang tetap. Selain boleh tawar menawar, mereka
selalunya menunjukkan kemesraan kepada pelanggan mereka. Sambil
membungkus ikan atau udang mereka menanyakan khabar pelanggan, mengapa
mereka datang awal atau lewat, apakah jenis masakan yang akan dilakukan kepada
ikan atau udang yang dibeli dan sebagainya. Dalam pada itu wanita Bajau ini suka
bersedekah. Mereka akan menambah beberapa ekor udang atau ikan ke dalam
beg plastik pelanggan. Tindakan mereka ini menawan hati pelanggan kerana
memperlihatkan bahawa wanita Bajau tidak begitu berkira dalam urus niaga.
Tindakan wanita Bajau menjual ikan dengan harga lebih murah, tidak
mendapat bantahan daripada peniaga-peniaga ikan di dalam pasar. Ini disebabkan
mereka berpandangan kuantiti yang dijual oleh wanita-wanita tersebut adalah
sedikit dan tidak menggugat perniagaan mereka. Selain daripada itu, masa
perniagaan juga adalah singkat sekitar empat jam sehari. Jenis ikan dan udang
yang dijual oleh wanita Bajau, terbatas kepada akuatik muara sungai sahaja,
menyebabkan peniaga dalam pasar tidak merasa resah. Peniaga dalam pasar
menjual pelbagai jenis ikan pelagik dan demersal yang datangnya dari perairan
pinggir pantai hinggalah ke perairan laut dalam. Kepelbagaian jenis ikan ini juga
menyebabkan peniaga-peniaga dalam pasar mempunyai pelanggan yang tertentu.
Dengan kata lain, wanita Bajau tidak benar-benar mewujudkan persaingan dengan
peniaga-peniaga di dalam pasar.

Sepanjang menjalankan perniagaan wanita Bajau berbual sesama sendiri.
Mereka berbual dengan menggunakan bahasa Bajau, dan hanya menggunakan
Bahasa Melayu apabila berbicara dengan pembeli atau siapa sahaja dari keturunan
bukan Bajau. Untuk menghilangkan haus, mereka membeli air daripada wanita
Bajau yang berniaga pelbagai rasa air batu dan air dalam tin, yang kemudiannya
dimasukkan ke dalam plastik. Mereka minum sedikit demi sedikit ketika tempat
jualan mereka tidak dikunjungi pelanggan. Sekiranya berasa lapar mereka akan
membeli satu atau dua potong kuih daripada peniaga-peniaga yang juga terdiri
daripada wanita Bajau.

Dari segi hasil jualan, pendapatan yang diterima agak berbeza sedikit di
antara hujung minggu dengan hari-hari biasa. Pada hujung minggu mereka
mendapat lebih pendapatan kerana pada hari Sabtu dan Ahad bilangan pelanggan
bertambah. Hari Sabtu dan Ahad adalah hari cuti kepada kakitangan kerajaan dan
beberapa syarikat swasta. Selain daripada itu, hari Ahad juga merupakan hari
Tamu bagi Pekan Tuaran. Tamu Tuaran telah terkenal sejak zaman penjajahan
British lagi. Pada hari Tamu ramai pembeli datang dari luar Tuaran, khususnya
dari Kota Kinabalu. Jarak Pekan Tuaran dengan Bandar raya Kota Kinabalu hanya
34 kilometer sahaja, Mereka datang ke Tuaran untuk berbelanja dengan harga yang
murah, di samping dapat membeli sayur-sayuran kampung, kuih-kuih tradisional,
masakan kampung dan lain-lain yang sukar didapati di Kota Kinabalu. Pekan
Tuaran menjadi penuh sesak ketika Tamu diadakan. Pada kedua hari tersebut
secara purata wanita Bajau memperoleh pendapatan di antara RM100.00 hingga
RM200.00. Sedangkan pada hari-hari biasa mereka memperoleh pendapatan di
antara RM50.00 hingga RM100.00.

Wanita Bajau menamatkan perniagaan sekitar jam 1.00 tengah hari. Mereka
akan berkemas dengan memasukkan semula ikan atau udang ke dalam baldi
sekiranya ada yang tidak habis dijual, melipat tikar, menutup payung dan mengira
hasil pendapatan pada hari itu. Kemudian mereka akan menuju ke kedai runcit
tempat mereka biasa berlanggan. Payung akan disimpan di situ, dan seterusnya
mereka akan membeli barang-barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi,
teh, minyak masak dan sebagainya. Selain daripada keperluan dapur, biasanya
mereka akan membeli satu atau dua kotak rokok yang dipesan oleh suami.
Sekiranya ikan dan udang laris dijual, mereka akan memberhentikan
perniagaan lebih awal. Setelah berkemas mereka akan pergi ke kedai emas di
bandar itu. Mereka akan melihat dan jika berkenan mereka akan menawar harga
barang kemas tersebut. Setelah dipersetujui harganya mereka akan membelinya.
Cara pembayaran agak berbeza dengan amalan biasa. Wanita Bajau akan
membayar secara beransur-ansur, bergantung pada pendapatan harian mereka.
Mereka hanya akan mengambil barang kemas itu sekiranya jumlah bayaran
sepenuhnya telah dibuat. Dengan kata lain bayar dahulu baharu ambil atau istilah
sekarang dikatakan pra-bayar. Urusan melihat dan membeli barang kemas perlu
diselesaikan sebelum jam 2.00 petang, kerana pada waktu tersebut mereka akan
pulang ke rumah dengan menaiki ‘kereta sapu’ atau van.

Sampai di rumah bagi mereka yang tidak mempunyai anak perempuan
remaja, mereka perlu memasak. Masakan makanan tengah hari, biasanya hanya
dapat dihidangkan sekitar jam 3.00 petang. Masakan keluarga Bajau amat ringkas.
Mereka tidak mengamalkan pemakanan seimbang. Hidangan mereka hanya terdiri
daripada nasi, sejenis lauk yang digoreng dan sejenis lauk berkuah. Jarang sekali
keluarga Bajau makan sayur-sayuran. Sekiranya ada, sayurnya terdiri daripada
rumpai laut. Hidangan tengah hari adalah sama dengan hidangan makan malam.
Lebihan makanan makan malam akan diperangat semula untuk dijadikan sarapan
pagi. Walaupun menu makanan sama sepanjang hari, mereka makan dalam jumlah
yang banyak. Menu makanan berbeza mengikut hari dan jenis hasil tangkapan.
Bagi wanita Bajau yang mempunyai anak perempuan remaja, tugas menyediakan
makanan diuruskan oleh anak-anak mereka. Walaupun begitu waktu makan siang
tetap sekitar jam 3.00 petang.

Masa dari jam 3.00 petang hingga jam 6.30 petang digunakan oleh wanita
Bajau untuk berehat. Sekiranya tidak ada apa-apa kerja hendak dilakukan mereka
akan tidur. Biasanya waktu sebelah petang mereka gunakan untuk membasuh
kain. Kain yang telah dibasuh akan dijemur di ampaian sama ada di pelantar atau
beranda rumah. Mereka tidak menjemur kain di laman, kerana rumah mereka
dibina di atas permukaan air. Dalam pada itu terdapat juga wanita Bajau yang
menggunakan waktu tersebut untuk menyiram pokok-pokok bunga, memangkas
daun dan membubuh baja. Pokok-pokok bunga mereka tidak ditanam di tanah,
tetapi ditanam dalam pasu atau dalam tong-tong bekas mengisi ikan. Pasu-pasu
bunga tersebut disusun berbaris atau digantung di beranda rumah atau di titian
menghala ke laut.
Bagi wanita Bajau yang hasil tangkapannya tidak habis dijual, mereka akan
memproses hasil tersebut untuk dijadikan ikan masin dan udang kering. Ikan akan
di siang dan kemudian dibubuh garam, setelah itu akan dijemur di pelantar rumah
atau di atas bumbung beranda rumah. Kerja-kerja membuat ikan masin dan udang
kering ini dijalankan oleh wanita Bajau secara bersendirian atau dibantu oleh anakanak perempuan mereka. Setelah beberapa hari ikan masin dan udang kering
diangkat dan dimasukkan ke dalam tin. Ikan masin dan udang kering ini bukan
untuk dijual tetapi untuk makan sendiri.

Wanita Bajau tidak dapat menjalankan kerja-kerja sampingan bukan
perikanan yang lain seperti bercucuk tanam atau memelihara ternakan ayam itik,
disebabkan mereka tidak mempunyai tanah. Tanah yang ada di persekitaran
rumah mereka tidak sesuai untuk kegiatan pertanian. Seperti kebanyakan
kampung-kampung nelayan lain di Sabah, adalah dibina di kawasan rawa dan
kawasan berpaya di antara laut dan tanah daratan. Tanah-tanah tersebut tidak
pernah diusahakan dan terletak terpinggir daripada pusat pembangunan. Sifatnya
yang terpinggir dan tidak diusahakan itu, memberanikan nelayan membina
kawasan petempatan di tempat itu. Nelayan membina petempatan di atas
permukaan air, bagi memudahkan mereka untuk pergi ke laut. Dengan yang
demikian, keluarga nelayan tidak mempunyai peluang untuk menjalankan kerjakerja
sampingan di kawasan setempat. Tambahan lagi mereka tidak mempunyai
kemahiran dan taraf pelajaran juga adalah rendah untuk membolehkan mereka
menceburi bidang lain selain daripada perikanan.

Di sebelah malam wanita Bajau menggunakan masa tersebut untuk melipat
kain, menyediakan makan malam atau menonton televisyen. Selain daripada itu,
masa tersebut digunakan juga untuk menjahit jala atau membubu jaring yang telah
koyak. Mereka akan masuk tidur sekitar jam 10.30 malam.


Daripada pemerhatian didapati wanita Bajau tidak begitu mengambil berat
tentang pelajaran anak-anak mereka. Mereka hanya berperanan menyediakan
kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan seperti makanan, pakaian dan
tambang sekolah. Ini disebabkan mereka sendiri seramai 40.0% tidak pernah
bersekolah, 20.0% hanya tamat sekolah rendah, dan bakinya masing-masing 20.0%
tamat Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada temu
bual yang dijalankan didapati mereka menghantar anak ke sekolah disebabkan
telah diwajibkan oleh pihak kerajaan. Mereka khuatir jika tidak berbuat demikian,
akan dikenakan tindakan undang-undang. Wanita Bajau kebanyakan mereka tidak
yakin akan pelajaran boleh mengubah taraf hidup mereka. Hujah mereka anakanak
nelayan di Kampung Mengkabung yang telah tamat persekolahan hingga ke
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, hampir keseluruhan mereka tidak mempunyai
pekerjaan. Kebanyakan mereka menganggur dan tidak kurang pula yang bekerja
sebagai nelayan artisenal seperti ibu bapa mereka.

Pendapatan, Perbelanjaan dan Tabungan

Kajian tentang pendapatan, perbelanjaan dan tabungan sewajarnya dijalankan
kepada kaum wanita Bajau, walaupun sebahagian besar daripada mereka bukan
merupakan ketua keluarga. Ketua Keluarga yang terdiri daripada golongan
perempuan, hanya wanita Bajau yang bertaraf janda sahaja. Ini bertepatan kerana
suami-suami wanita Bajau tidak terlibat langsung dengan urusan dan pentadbiran
kewangan keluarga. Mereka menjalankan aktiviti menangkap ikan dan
menyerahkan hasil tangkapan kepada isterinya untuk dipasarkan. Isteri mereka
akan membelikan mereka rokok dan memberi duit kopi2 setiap hari selepas pulang
dari pasar. Segala urusan kewangan dan pentadbiran rumah tangga diserahkan
sepenuhnya kepada isteri.

Purata Pendapatan Bulanan Keluarga Wanita Bajau

Menyentuh dari segi purata pendapatan bulanan, ia dirujuk kepada pendapatan
yang diperoleh wanita Bajau bersama suami mereka daripada pekerjaan utama
sebagai nelayan. Dalam kajian ini didapati wanita Bajau dan suami mereka tidak
menjalankan pekerjaan sampingan. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai
tanah, tiada kemahiran dalam pekerjaan lain selain sebagai nelayan dan peluang
pekerjaan di kawasan setempat amat terhad. Anak-anak juga tidak membantu
kerana pada umur yang agak muda, iaitu awal dua puluhan, mereka telah
mempunyai keluarga dan tanggungan sendiri. Kebanyakan anak mereka juga
bekerja sebagai nelayan artisenal.

Keluarga wanita Bajau ini selalu dikategorikan sebagai golongan miskin atau
golongan termiskin. Ini disebabkan semasa penyelidikan dijalankan oleh beberapa
pihak dengan menggunakan borang soal-selidik, tidak memerhatikan dan tidak
juga menyemak semula kesahihan jawapan yang diberikan oleh responden.
Responden yang dikaji berkecenderungan untuk menyatakan pendapatan yang
amat rendah, bertujuan untuk mendapat simpati daripada pihak pengkaji. Ini
dilakukan kerana mengandaikan pengkaji adalah daripada agensi kerajaan seperti
Jabatan Perikanan Sabah atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Cawangan Sabah
dan agensi-agensi yang lain, yang datang membuat banci atau kajian untuk
menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi. Mereka mengharapkan nama
mereka tersenarai dalam kategori nelayan yang layak menerima bantuan.
Secara umum keluarga nelayan wanita Bajau memperoleh hasil tangkapan
di antara lima hingga 20 kilo sehari. Jika mereka pergi ke laut 20 hari dalam
sebulan, bermakna mereka memperoleh hasil tangkapan di antara 100 kilo hingga
400 kilo. Harga hasil tangkapan berbeza di antara jenis, gred dan kesegaran.
Bagaimana pun jika diandaikan harga hasil tangkapan RM10.00 sekilo dan nelayan
dapat menjual semua hasil tangkapan mereka, ini bermakna purata pendapatan
bulanan mereka di antara RM1,000.00 hingga RM4,000.00. Perkiraan di atas
mengandaikan angka yang rendah, bagaimana jika diambil kira bahawa nelayan
keluar ke laut di antara 26 hingga 28 hari sebulan dan purata hasil tangkapan dijual
dengan harga RM12.00 hingga RM15.00 sekilo? Daripada perkiraan di atas
didapati keluarga wanita Bajau berada di atas garis kemiskinan.
Jika dilihat keadaan fizikal rumah nelayan sememangnya tidak menarik dan
selalu dikaitkan dengan kemiskinan. Perlu dijelaskan di sini, rumah nelayan yang
ada dibina di atas air. Mereka tidak mempunyai tanah. Mereka menganggap
pembinaan rumah tersebut adalah sementara dan tiada jaminan. Rumah mereka
boleh sahaja bila-bila masa, diruntuhkan apabila pihak berwajib atau pihak-pihak
tertentu menginginkannya. Sekiranya itu terjadi mereka akan berpindah ke tempat
lain dan membina petempatan baru, yang juga sementara sifatnya. Oleh yang
demikian apakah gunanya mereka membina rumah kekal, kukuh, teratur dan
mungkin juga cantik seperti yang ada di darat. Selain daripada itu mereka tetap
ingin tinggal di atas air kerana itu memudahkan mereka bekerja sebagai nelayan.
Oleh sebab rumah dibina di atas air, maka soal menghias rumah bukan menjadi
agenda utama dan tidak begitu dipentingkan.

Selain daripada itu, setakat ini masih belum terdengar berita yang ada
keluarga nelayan di Tuaran khasnya dan Sabah amnya yang mati kebuluran akibat
kemiskinan. Daripada pemerhatian, tidak juga dijumpai seorang pun ahli komuniti
nelayan di kawasan kajian yang hidup dalam keadaan meminta-minta atau pun
mengemis di jalanan. Dalam kajian yang lain, didapati ramai pendatang asing dari
negara-negara jiran seperti Indonesia3, Filipina4 dan Thailand5 yang masuk ke
negara ini baik secara sah mahupun secara haram, melibatkan diri dalam aktiviti
perikanan berjaya membawa pulang ribuan ringgit ke negara masing-masing setiap
tahun. Persoalannya di sini benar kah nelayan di Kampung Mengkabong miskin
atau pun gaya hidup mereka yang tidak kemas dan teratur, menyebabkan mereka
kelihatan seperti golongan miskin.

Purata Perbelanjaan Bulanan Keluarga Wanita Bajau

Perbelanjaan untuk membeli barang-barang dapur dibuat oleh wanita Bajau setiap
hari seketika pulang dari berjualan di Pekan Tuaran. Perbelanjaan untuk dapur
tidaklah begitu besar, kerana wanita Bajau mengamalkan cara hidup yang ringkas
dan mudah. Mereka selalunya membeli barang-barang yang asas sahaja seperti
beras, kopi, teh, gula, biskut, minyak masak, bawang dan lain-lain. Perbelanjaan
dapur secara purata berjeda daripada RM350.00 hingga RM500.00 sebulan. Saiz
keluarga dan umur tanggungan merupakan faktor penting dalam menentukan
jumlah purata perbelanjaan bulanan keluarga.
Perbelanjaan bulanan yang tidak kurang besarnya ialah perbelanjaan untuk
persekolahan anak-anak. Wanita Bajau terpaksa menyediakan wang untuk
tambang, dan belanja anak-anak semasa di sekolah. Secara purata perbelanjaan
bagi tujuan di atas, RM3.00 bagi anak yang bersekolah rendah dan RM5.00 untuk
anak yang bersekolah menengah. Jumlah perbelanjaan bulanan bergantung pada
bilangan anak dan tahap persekolahan mereka. Purata perbelanjaan sekolah bagi
keluarga wanita Bajau, berjeda dari RM60.00 hingga RM380.00.
Hampir kesemua suami wanita Bajau merokok. Mereka telah mula merokok
sejak zaman remaja lagi. Alasan merokok adalah untuk menghilangkan kebosanan
semasa berada di laut. Perbelanjaan untuk rokok ada kalanya melebihi
perbelanjaan untuk membeli minyak petrol untuk ke laut. Jenama rokok yang
dihisap adalah pelbagai daripada rokok yang berharga murah hinggalah ke rokok
yang mahal. Biasanya mereka merokok sebanyak sekotak atau pun dua kotak
sehari. Perbelanjaan untuk rokok di antara RM60.00 hingga RM480.00 sebulan.
Selain daripada rokok, suami mereka juga memerlukan perbelanjaan duit kopi.
Suami-suami wanita Bajau selalunya suka minum di kedai-kedai kopi di sebelah
petang sebelum turun ke laut. Di kedai kopi mereka akan menghabiskan masa
berbual, main dam, main terup atau pun menonton televisyen. Dalam pada itu
ada juga yang mempunyai kegemaran berjudi. Perbelanjaan duit kopi berjeda dari
RM90.00 hingga RM300.00.

Minyak bot adalah perbelanjaan yang mesti. Tanpa minyak bot mereka sulit
untuk ke laut. Suami wanita Bajau, keseluruhan mereka menggunakan bot berenjin
sangkut dengan kuasa kuda enjin di antara 5h.p hingga 15.hp. Operasi menangkap
ikan tidak begitu jauh, sekitar perairan kurang daripada lima batu nautika dari
pantai. Setiap kali keluar ke laut mereka membelanjakan di antara RM10.00 hingga
RM20.00 untuk minyak. Perbelanjaan untuk minyak berjeda di antara RM200.00
hingga RM500.00 bergantung pada jumlah hari ke laut dalam sebulan.
Selain daripada perbelanjaan di atas, wanita Bajau juga turut membiayai
perbelanjaan utiliti yang berjeda daripada RM50.00 hingga RM200.00 sebulan.
Perbelanjaan lain-lain seperti kesihatan, hiburan dan sumbangan kepada ibu bapa
tidaklah begitu besar, secara purata berjeda di antara RM80.00 hingga RM350.00
sebulan. Kesemua perbelanjaan di atas ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah.

Jadual 1: Purata Perbelanjaan Bulanan Keluarga Wanita Bajau Di Kampung
Mengkabong, Tuaran, Sabah

Amaun Perbelanjaan
Jenis RM50- RM101- RM151- RM201- RM251- RM301- RM351 RM451-
Perbelanjaan RM100 RM150 RM200 RM250 RM300 RM350 RM400 RM500
Belanjaan
Dapur - - - - - 35% 50% 15%
Belanjaan
Sekolah 5% 10% 20% 20% 25% 15% 5% -
Rokok 15% - - 25% 30% 20% 5% 5%
Duit kopi 10% 10% 25% 15% 40% - - -
Minyak bot - - - 10% 70% 10% 5% 5%
Utiliti 60% 35% 5% - - - - -
Lain-lain 40% 15% 15% 10% 10% 10% - -
Sumber: Lapangan Kajian

Purata Tabungan Bulanan Wanita Bajau

Dari segi tabungan didapati seramai 35.0% menyatakan melakukan tabungan
kurang daripada RM500.00 sebulan, 5.0% menabung di antara RM500.00 hingga
RM999.00 dan 5.0% menabung di antara RM1,000.00 hingga RM1,499.00 sebulan.
Mereka menyimpan wang sebahagiannya di rumah, sementara sebahagian yang
lain di bank-bank di Pekan Tuaran. Tujuan membuat tabungan ialah untuk
digunakan semasa kecemasan, semasa ahli keluarga sakit, mengahwinkan anak,
mengadakan kenduri arwah dan kesyukuran, membaiki rumah dan juga membaiki
bot dan enjin. Anehnya mereka tidak menyimpan wang untuk tujuan melanjutkan
pelajaran anak-anak.

Bagi mereka yang mengatakan tidak melakukan tabungan adalah sebanyak
55.0%. Sebenarnya mereka masih melakukan tabungan tetapi tidak dalam bentuk
simpanan wang tunai atau pun simpanan di bank. Dua cara lain mereka membuat
tabungan. Pertama, dengan bermain ‘kutu’ atau main ‘undi’. Permainan ‘kutu’
atau ‘undi’ adalah dengan membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada
sepuluh atau dua belas orang. Setiap orang perlu membayar sejumlah wang yang
dipersetujui oleh ahli setiap bulan. Jumlah wang yang perlu dibayar adalah sama
bagi setiap ahli dan sama bagi setiap bulan. Satu undian akan dijalankan dengan
cara setiap orang diberi satu kertas yang mempunyai satu nombor. Setiap orang
akan menggulung kertas undi mereka dan kemudian dimasukkan ke dalam sebuah
bekas. Seorang akan dilantik untuk mencabut kertas undi dari mula hingga akhir.
Kertas undi pertama akan mendapat wang ahli-ahli yang terkumpul pada bulan
pertama, kertas kedua pada bulan kedua dan seterusnya hingga ke bulan ke
sepuluh atau ke bulan dua belas. Wang terkumpul tersebut biasanya digunakan
untuk membeli barang-barang kemas.

Kedua, seperti yang dijelaskan sebelum ini iaitu membuat pra bayar pada
pembelian barang kemas. Wanita Bajau membuat bayaran ansuran bulanan, dan
setelah selesai semua jumlah bayaran baru mereka mengambil barang kemas yang
di tempah atau dipesan. Barang kemas bukan sahaja digunakan untuk perhiasan
tubuh badan, tetapi ia boleh digunakan semasa kecemasan atau semasa keputusan
wang dengan cara menggadaikannya di kedai-kedai emas atau kedai pajak gadai
di Pekan Tuaran. Selain daripada itu sudah menjadi adat orang Bajau apabila anak
perempuan mereka berkahwin, mereka akan menghadiahkan rantai emas atau
barang kemas yang lain, yang dianggap sebagai pemberian pusaka. Dalam pada
itu, ramai juga di antara mereka yang membeli barang kemas bertujuan untuk
menjadi barang hantaran ketika ingin mengahwinkan anak lelaki mereka.
Dari segi pemilikan harta didapati kesemua wanita Bajau tidak mempunyai
tanah, bagaimana pun kesemua mereka memiliki rumah. Rumah mereka dibina
sendiri baik secara upah atau pun secara gotong-royong. Rumah bertiang kayu,
berdinding papan dan beratap zink. Saiz rumah biasanya 30’ X20’, mempunyai
satu atau dua bilik tidur, ruang tamu dan dapur. Setiap rumah mempunyai
beranda yang menghadap ke tanah daratan dan mempunyai pelantar yang
menghadap ke laut. Pelantar digunakan untuk membasuh kain dan pinggan
mangkuk, menyidai kain, menyidai jala dan jaring, menjemur ikan masin dan
udang kering dan juga digunakan sebagai tempat mendaratkan hasil tangkapan.
Di pelantar terdapat tangga di mana digunakan untuk naik dan turun ke perahu
atau bot. Perahu dan bot ditambat pada tiang tangga tersebut. Di ruang pelantar
ini juga dijadikan sebagai tempat menyangkut enjin bot, menyimpan tong minyak
petrol, minyak pelicin, derum menakung air hujan dan sebagainya. Di dinding
pelantar rumah digunakan untuk menyangkut kuali, periuk, parang, bintur ketam,
kain buruk dan lain-lain. Di salah satu sisi pelantar dibina bilik air untuk mandi
dan sebuah tandas. Pembinaan tandas amat ringkas iaitu dengan membuat satu
kepungan sehingga berbentuk seperti sebuah bilik, dan di lantainya dibuatkan
sebuah lubang yang membolehkan najis terus jatuh ke air. Pendek kata ruang
pelantar digunakan sepenuhnya, dan ia amat penting bagi masyarakat nelayan.



Rumah wanita Bajau tidak mempunyai ternakan ayam itik disebabkan
mereka tidak mempunyai tanah untuk berternak. Bagaimana pun didapati
beberapa keluarga, yang suami dan anak lelaki mereka memelihara seekor atau
dua ayam laga (ayam Siam). Ayam ini tidak dilepaskan tetapi dipelihara dalam
sebuah reban kecil yang diletakkan di atas pelantar rumah mereka. Kegiatan
berlaga ayam masih aktif dijalankan di hujung-hujung Kampung Mengkabong.
Keseluruhan wanita Bajau tidak mempunyai kenderaan seperti kereta,
motosikal mahu pun basikal. Alasan mereka selain tidak mampu untuk
memilikinya, mereka menyatakan sukar untuk mendapatkan lesen memandu
disebabkan kebanyakan mereka adalah buta huruf. Sudah pasti mereka akan gagal
dalam ujian berkomputer. Bagaimana pun ramai yang mengatakan banyak lagi
perkara yang lebih diperlukan dan lebih mendesak daripada kenderaan. Dalam
pada itu tidak kurang pula yang menyatakan malu untuk memiliki kenderaan,
kerana takut dikatakan ingin menunjuk-nunjuk.




Kesimpulan
Peranan yang dimainkan oleh wanita Bajau di Kampung Mengkabong tidak boleh
dipandang ringan. Mereka bukan lagi setakat membantu suami tetapi telah
menjadi tonggak ekonomi keluarga. Kebiasaannya wanita ikut ke laut menemani
dan membantu suami dalam operasi menangkap ikan. Tenaga kerja mereka
selalunya tidak dibayar, kerana mereka dianggap sebagai pembantu sahaja yang
menjalankan kerja-kerja yang agak ringan. Bagaimana pun berbeza keadaannya
dengan wanita Bajau dalam kajian ini. Mereka tidak ikut serta ke laut bersama
suami, tetapi menjalankan operasi menangkap ikan secara bergilir dengan suami.
Ketika suami mereka ke laut di waktu malam, mereka berada di rumah. Apabila
suami pulang di waktu subuh, mereka pula pergi ke muara sungai menjalankan
operasi menangkap ikan, seolah-olah mereka bekerja mengikut syif. Dalam hal
ini, wanita Bajau berhak menerima ganjaran, kerana mereka sendiri yang turun
ke laut tanpa bantuan atau campur tangan suami. Oleh yang demikian pendapatan
keluarga adalah pendapatan suami di tambah dengan pendapatan isteri.
Hasil tangkapan suami di tambah dengan hasil tangkapan isteri, dijual
sendiri oleh wanita Bajau di Pekan Tuaran, tanpa melalui orang tengah. Ini
membolehkan mereka mendapat pulangan yang sewajarnya. Dalam hal ini wanita
Bajau tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Mereka tidak bergantung atau
terikat dengan orang tengah yang biasanya mengamalkan ‘sistem tauke’. Urus
niaga yang dijalankan dalam bentuk tunai, membolehkan wanita Bajau memenuhi
keperluan harian mereka dan di samping input-input perikanan. Ini semua dapat
dilakukan kerana jarak Kampung Mengkabong yang begitu hampir dengan Pekan
Tuaran. Dapat dikatakan bahawa jarak di antara tempat pendaratan dengan
tempat pemasaran mempengaruhi sosioekonomi komuniti nelayan. Nelayan selalu
digambarkan sebagai masyarakat terpinggir, tetapi dalam kes ini agak berkecuali.
Selain daripada itu sifat fizikal muara sungai itu sendiri memberi rezeki
kepada nelayan-nelayan di Kampung Mengkabong. Sumber di perairan muara
sungai ini masih banyak, kerana sejak sekian lama ia dieksploitasi dengan
menggunakan peralatan tradisional. Hasil yang didaratkan sesuai dengan
keperluan penduduk setempat dan tidak berlaku tanda-tanda kepupusan sumber
perikanan. Di kawasan muara sungai ini tidak terdapat perusahaan perikanan
komersial, yang menggunakan peralatan canggih yang boleh mengaut hasil
perikanan dengan rakus, dalam tempoh masa yang singkat. Oleh yang demikian
dapat dikatakan pengeksploitasian sumber perikanan di kawasan ini diusahakan
secara mampan. Selain daripada itu pembangunan di kawasan daratan dan
pedalaman yang terkawal dan tidak drastik, menyebabkan kurang berlaku
pencemaran sungai.

Wanita Bajau yang berperanan sebagai nelayan dan peniaga ikan telah
berjaya meningkatkan taraf hidup keluarga nelayan di Kampung Mengkabong.
Walaupun pembangunan ekonomi telah dapat dianggap berjaya, namun begitu ia
tidak seiring dengan pembangunan sosial, khususnya pendidikan. Seperti yang
telah dijelaskan sebelum ini, sebilangan besar wanita Bajau tidak bersekolah dan
ramai yang menamatkan pelajaran hanya di peringkat Penilaian Menengah Rendah
sahaja. Trend yang hampir sama berlaku kepada anak-anak mereka. Walau pun
pada masa ini semua anak mereka bersekolah, namun begitu pengajian di tamatkan
di peringkat yang lebih awal. Mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi
kepada pendidikan anak-anak, kerana melihatkan keadaan sekarang di mana anakanak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, hampir keseluruhan mereka menganggur
atau pun meneruskan pekerjaan keluarga mereka sebagai nelayan. Oleh yang
demikian pihak yang bertanggung jawab perlu menekan dan memberi perhatian
kepada program pembangunan insan generasi muda komuniti nelayan selain
daripada pembangunan ekonomi.

Komuniti nelayan digambarkan miskin kerana cara hidup dan persekitaran
yang terlalu asas dan tidak terurus. Ini terjadi kerana mereka tinggal di atas
permukaan air disebabkan tiada bertanah. Memberi mereka tanah bukan
merupakan jawapan yang begitu tepat, kerana tanah di kawasan pinggir pantai
biasanya tidak begitu sesuai untuk kegiatan pertanian, kecuali tanaman kelapa di
kawasan pantai berpasir. Untuk memindahkan mereka ke tanah-tanah di daratan
yang jauh dari laut, hanya menambahkan kesulitan daripada kemudahan, kecuali
untuk menukarkan wajah mereka daripada komuniti maritim kepada komuniti
agraria.
Nelayan perlu tinggal di pantai, tebing sungai atau di atas permukaan air
yang membolehkan mereka berhubung terus dengan laut. Oleh yang demikian
sudah tiba masanya dilakukan anjakan paradigma, di mana satu cara harus
difikirkan, dan dilaksanakan untuk mengeluarkan geran-geran yang boleh
mengiktiraf pemilikan kawasan terukur di perairan pesisir pantai. Pengiktirafan
hak milik kawasan perairan, memberi satu bentuk jaminan kepada kaum nelayan.
Ini membolehkan mereka melakukan sesuatu yang berbentuk kekal, seperti
pembinaan rumah yang lebih baik, jeti pendaratan persendirian, sangkar
pemeliharaan ikan yang kekal, tempat riadah dan rekreasi, kedai runcit dan
restoran makanan laut, dan lain-lain. Dengan adanya pengiktirafan hak milik kekal
ini, diyakini gambaran komuniti nelayan yang tidak terurus, miskin, kotor akan
berubah kepada pemandangan yang lebih menarik, bersih dan menyenangkan.
Maka ketika itu berubahlah nama kampung nelayan daripada “Kampung Atap”,
“Kampung Sungai Sembilang”, “Kampung Sungai Ular” kepada “Kampung
Nelayan Maju”, “Kampung Nelayan Jaya”, dan “Kampung Nelayan Bahagia”.

Nota Hujung
1 “Kereta sapu” ialah kereta yang memainkan peranan sebagai sebuah teksi tetapi tidakmempunyai permit. Tambangnya adalah lebih murah daripada teksi dan ia boleh pergikemana sahaja yang diarahkan oleh penumpang.

2 Duit kopi dalam tulisan ini bukan simpulan bahasa yang membawa maksud duit rasuah, tetapi merupakan wang yang diperlukan untuk perbelanjaan makan dan minum di kedai kopi.

3 Mohammad Azzam Manan, “Penglibatan Buruh Perikanan Asing Dalam Perusahaan
Perikanan Pukat Tunda dan Pukat Jerut Di Sabah,’ (Tesis Sarjana Sastera, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya, 2005).

4 Mohammad Raduan Mohd Ariff, Mazlan Masjid & Yeap Hock Lai, “Penglibatan Buruh
Perikanan Filipina Dalam Perusahaan Perikanan Pukat Tunda Di Kudat, Sabah,” dalam
Borneo Research Journa, Vol. 1 (2007), hlm. 159 -171.
5 Yeap Hock Lai, “Penglibatan Buruh Perikanan Thai Dalam Sektor Perikanan Di
Semenanjung Malaysia: Kajian Kes Di Tok Bali, Kelantan,” (Tesis Sarjana Sastera, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya, 2005).